Tentera Myanmar umum gencatan senjata terhadap pemberontak


Gencatan senjata sebelah pihak itu akan berkuat kuasa serta-merta sehingga 30 April bagi memberi laluan kepada rundingan damai dilaksanakan. – Gambar AFP, 21 Disember, 2018.

TENTERA Myanmar menggantung semua operasi ketenteraan di wilayah bergolak di utara dan timur negara itu selama empat bulan sebagai usaha membuka rundingan dengan kumpulan pemberontak.

Konflik di negara bermula sejak mendapat kemerdekaan dari Britain pada 70 tahun lalu apabila beberapa kumpulan bersenjata memperjuangkan kuasa autonomi, identiti, sumber dan wilayah.

Pergolakan itu juga menyebabkan ribuan penduduk menjadi pelarian ekoran pertempuran antara tentera kerajaan dan kumpulan pemberontak.

Setakat ini 10 kumpulan pemberontak menandatangani satu proses perdamaian yang diketuai oleh pemimpin negara Aung San Suu Kyi.

Salah satu tuntutan utama kumpulan pemberontak adalah mahu melihat tentera menghentikan operasi terlebih dahulu.

Pada Jumaat, tentera Myanmar dalam pengumumannya menerima syarat pemberontak itu dan menghentikan semua operasi ketenteraan di wilayah utara dan timur negara itu.

Gencatan senjata sebelah pihak itu akan berkuat kuasa serta-merta sehingga 30 April bagi memberi laluan kepada rundingan damai dilaksanakan.

Bagaimanapun tentera diletakkan dalam keadaan bersedia jika keadaan memaksa mereka berbuat demikian.

Gencatan senjata itu tidak termasuk operasi ketenteraan di negeri Rakhine yang menyaksikan askar Myanmar memburu militan Rohingya, sekali gus menjadikan lebih 720,000 etnik minoriti itu menjadi pelarian. – AFP, 21 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen