SEKOLAH-SEKOLAH di selatan China kini menggunakan cip pintar yang dipasang pada uniform sekolah untuk mengesan pelajar mereka yang ponteng kelas dan meningkatkan kadar kehadiran ke sekolah.
Uniform pintar itu membolehkan pihak sekolah mengesan lokasi pelajarnya dan merekod aktiviti keluar masuk ke premis sekolah.
Teknologi itu juga akan mengambil gambar atau video pelajar apabila mereka memasuki kawasan sekolah.
Jika pelajar didapati keluar sekolah tanpa kebenaran, satu amaran suara automatik akan diaktifkan.
Peralatan pengecaman wajah juga dipasang di pintu sekolah yang turut membantu cip pintar pada uniform mengesan jika ada pelajar cuba menukar pakaian mereka.
Uniform canggih itu digunakan hampir separuh daripada 1,400 pelajar di sebuah sekolah di wilayah Guizhou sejak November lalu.
Malah sekurang-kurangnya 10 sekolah di Guizhou dan wilayah jiran, Guangxi menggunakan teknologi tersebut.
Namun setakat ini, keberkesanan uniform pintar itu dalam mengekang kes ponteng sekolah belum dapat dipastikan.
Bagaimanapun teknologi itu menyumbang kepada peningkatan kehadiran pelajar ke sekolah. – AFP, 21 Disember, 2018
Komen