SABAH dan Sarawak tidak memerlukan unsur dakwah atau ajaran nilai murni memandangkan kedua-dua negeri itu tidak dibayangi isu ketegangan kaum dan agama, kata Parti Bersatu Sabah (PBS).
Kritikan terhadap Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik itu disuarakan oleh Setiausaha PBS Jahid Jahim yang menasihati menteri itu agar tidak membazir tenaga kerja dari semenanjung untuk ‘menceroboh’ negeri-negeri Borneo.
“Tiada keperluan untuk mencampuri urusan agama (di Sabah dan Sarawak), beliau (Maszlee) mahu berdakwah, lakukannya di Semenanjung Malaysia,” kata Jahid hari ini.
“Tahap toleransi kami amat tinggi di Sabah dan Sarawak. Beliau dialu-alukan untuk datang dan belajar cara hidup kami… Kami akan menunjukkan di sini tidak perlu berdakwah tentang cara hidup dan saling menerima kepercayaan dan agama antara satu sama lain,” katanya.
Jahid berkata penduduk Sabah terdiri daripada penganut Islam dan Kristian yang tinggal bersama tanpa sebarang masalah.
Beliau juga menasihati Maszlee untuk menumpukan tugas yang sepatutnya dilakukan sebagai menteri pendidikan.
“Tumpukan perhatian untuk meningkatkan standard pendidikan negara seperti memperkukuhkan dan meningkatkan persediaan guru dalam menghadapi generasi baharu (pelajar).”
Jahid berkata Maszlee perlu memastikan silibus pendidikan memberi tumpuan terhadap sejarah pembentukan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 yang melibatkan syarat untuk Sabah dan Sarawak sebagai negeri berdaulat.
“Ramai golongan muda termasuk segelintir ahli politik tidak mengetahui tentang sejarah negara kita,” katanya.
Bagi sekolah di Sabah dan Sarawak, Jahid menyarankan Maszlee untuk membuat sesuatu tentang membaiki sekolah dan peralatan selain menyediakan lebih banyak buku teks dan peralatan mengajar bagi guru.
Maszlee dikritik beberapa pemimpin dari Sabah dan Sarawak ekoran kenyataan beliau yang mahu menjadikan sekolah di kedua-dua negeri itu sebagai medan dakwah oleh guru dari semananjung.
Selepas dikecam oleh kumpulan gereja dan ahli politik tempatan, Maszlee berkata dakwah yang dimaksudkan beliau adalah mengajar nilai murni, bukannya penyebaran Islam. – 21 Disember, 2018.
Komen