BARISAN Nasional (BN) masih belum membuat keputusan berhubung calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, kata Mohamad Hasan.
Pemangku Presiden Umno itu berkata mereka akan menyerahkan perkara tersebut kepada kepimpinan parti komponen untuk memutuskan calon yang akan bertanding.
“Kita menghormati parti komponen kita (MIC) yang mengendalikan kawasan itu.
“BN masih belum memutuskan siapa calon, ia merupakan pilihan yang dibuat oleh MIC,” katanya selepas mengadakan mesyuarat majlis tertinggi Umno di ibu pejabat parti hari ini.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa tarikh PRK Cameron Highlands akan diadakan pada Sabtu, 26 Januari tahun depan.
Pengerusi SPR Azhar Harun berkata tarikh pencalonan ditetapkan pada 12 Januari manakala pengundian awal akan berlangsung pada 22 Januari.
PRK Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada bulan lepas membatalkan kemenangan C. Sivarraajh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) selepas beliau didapati membeli undi. – 21 Disember, 2018.
MENYUSUL
Komen