WAKIL-wakil rakyat Umno selesa dengan kepimpinan semasa dan tidak akan ada lagi pembelotan akan berlaku, kata Mohamad Hasan.
Pemangku Presiden Umno itu berkata, Ahmad Zahid Hamidi mengambil cuti dari tugasnya akan menghentikan fenomena ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri yang keluar daripada parti.
“Saya akan bertemu dengan semua ahli Parlimen, mereka (anggota Umno) berpuas hati dengan keadaan sekarang.
“Kita mesti pastikan kecederaan ini dihentikan.
“Dalam perkembangan terbaru, ia telah berhenti, jadi kita tidak jangka wujud gelombang kedua atau ketiga,” katanya dengan yakin di ibu pejabat Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Pada hari Selasa, tunduk terhadap tekanan dari dalam Umno, presiden Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa beliau akan ke tepi bagi membolehkan Mohamad melaksanakan tugas presiden.
Umno setakat ini telah kehilangan 17 ahli parlimen, meninggalkan Barisan Nasional dengan hanya 37 dari 54 kerusi persekutuan yang dimenanginya pada PRU14.
Ahli parlimen yang mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil bebas dijangka akan menyertai Bersatu pada akhirnya.
Mohamad berkata tumpuan utama kini adalah memperkukuhkan parti dan tampil dengan strategi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15.
Katanya kini mereka perlu membina semula Umno untuk memperkasakan parti.
“Umno merupakan parti besar dan kita perlu melihat semua aspek operasi. Jadi kita boleh menguruskan dan mengendalikan parti dengan teratur.
“Kita akan menubuhkan satu jawatankuasa dengan naib presiden untuk membangkit sebarang isu.”
Katanya langkah memberi lebih kuasa dari ibu pejabat ke peringkat negeri juga akan dilaksanakan.
“Kita akan memberi kebebasan kepada jawatankuasa cawangan negeri dalam membuat keputusan supaya dapat mewujudkan lebih banyak komunikasi antara ibu pejabat dan peringkat negeri.
“Kita juga akan memberi kuasa autonomi kepada Umno Sabah. Kita akan menyusun semula parti dan bangkit sekali lagi.” – 21 Disember, 2018.
Komen