STESEN radio perniagaan BFM89.9 masih menunggu siasatan yang dijalankan penyiasat luaran bagi membuat kesimpulan mengenai dakwaan gangguan seksual di pejabatnya.
Meera Sivasothy, orang yang bertanggungjawab mengendalikan siasatan mengenai kes tersebut, enggan memberi ulasan lanjut mengenai isu tersebut kerana beliau tidak dimaklumkan mengenai kemas kini siasatan.
“Saya tidak boleh mengatakan apa-apa pada masa ini kerana saya tidak tahu.
“Kami sedang menunggu siasatan penyiasat luar dan mereka belum lagi memberikan maklumat kepada kami,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Beliau juga berkata tidak ada garis masa yang diberikan penyiasat luaran berhubung bila siasatan itu dapat disimpulkan.
Awal bulan ini, stesen radio itu melantik penyiasat pihak ketiga untuk meneliti dakwaan gangguan seksual selepas e-mel tanpa nama dihantar ke beberapa saluran media.
Pengasas BFM Malek Ali berkata pekerja yang terlibat telah mengambil “cuti tidak hadir”.
E-mel itu ditulis oleh seorang individu yang mendakwa sebagai pekerja perempuan di stesen radio tersebut.
Ia mendakwa pengurusan BFM cuba menutup kes-kes gangguan seksual di tempat kerja.
E-mel itu juga mendakwa gangguan seksual menjadi perkara yang berterusan berlaku di BFM, termasuk penggunaan bahasa yang tidak sesuai dalam perbualan dan teks mesej. Ia juga mendakwa terdapat juga kes rogol berlaku di stesen radio itu.
Berikutan dakwaan itu, Institut Wartawan Malaysia berkata kes tersebut menunjukkan bahawa adanya keperluan untuksebuah undang-undang yang lebih kuat mengenai gangguan seksual bagi mengurangkan insiden tersebut, di mana-mana tempat kerja. – 21 Disember, 2018.
Komen