GABUNGAN antarabangsa bagi memerangi militan Daesh di Syria “ada tugas untuk diselesaikan” walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengambil keputusan menarik balik tentera Amerika dari Syria, kata Menteri Pertahanan Perancis hari ini.
“Keputusan yang diambil presiden AS banyak mengubah beberapa perkara secara sangat radikal,” kata Florence Parly kepada radio RTL.
“Presiden Trump mengatakan Daesh sudah mati, tetapi kami percaya hari ini bahawa walaupun wilayah yang dikuasai khalifah tidak lagi sama seperti apa yang terjadi pada tahun 2014 (...) jika ia telah dikurangkan sehingga mati, Masih ada beberapa poket di mana militan jihadis berkumpul,” katanya.
“Kami anggap bahawa tugas ini perlu diselesaikan,” katanya, dengan menambah bahawa sekiranya mereka gagal berbuat demikian, ia mungkin bermakna Daesh mungkin akan berkumpul semula.
Parly juga mencadangkan agar pelaksanaan penarikan 2,000 tentera AS dari Syria perlu dibincangkan di kalangan gabungan bersekutu, di samping berkata bahawa “anda tidak boleh menarik balik tentera dari dalam tempoh satu hari ke tempat yang lain”.
Perancis mempunyai pesawat di rantau ini, selain artileri jarak jauh yang diletakkan di sepanjang sempadan Iraq-Syria.
Washington berkata Perancis juga meletakkan pasukan khasnya di Syria, walaupun Perancis tidak pernah mengakui dakwaan tersebut. – AFP, 21 Disember, 2018.
Komen