KUMPULAN prokemerdekaan Catalonia merancang mengadakan bantahan dan sekatan jalan raya di Barcelona pada Jumaat ketika Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez mengadakan mesyuarat Kabinet di ibu kota itu di bawah kawalan ketat.
Mesyuarat mingguan itu biasakan diadakan di Madrid tetapi Sanchez yang baru enam bulan berkhidmat dalam kerajaan Sosialis itu membuat keputusan mengadakannya di ibu kota Catalonia sebagai sebahagian usahanya mengurangkan ketegangan di Catalonia.
Tahun lalu, Catalonia gagal dalam cubaannya untuk berpisah dari Sepanyol.
Sanchez dan ketua pemisah kerajaan Catalonia, Quim Torra menyuarakan komitmen untuk mengadakan “dialog efektif” bagi cuba menyelesaikan pertikaian berhubung kekayaan wilayah di dalam Sepanyol itu, selepas kedua-duanya mengadakan perbincangan di Barcelona pada malam Khamis.
Kerajaan akan menggunakan mesyuarat Kabinet itu untuk meluluskan kenaikan 22% dalam gaji minimum, kenaikan untuk pekerja awam dan mengumumkan pelaburan dalam projek infrastruktur di Catalonia, yang mempunyai populasi 7.5 juta orang dan ada bahasa mereka sendiri.
Tetapi masa mesyuarat itu – setahun selepas Madrid mengadakan pilihan raya tergempar di wilayah itu selepas menghalang langkahnya untuk mendapatkan kemerdekaan – dianggap sebagai “provokasi” oleh pemimpin kumpulan pemisah. – AFP, 21 Disember, 2018.
Komen