Pulau Pinang belanjakan 77% dana bagi pembangunan luar bandar


Looi Sue-Chern

Perdana Menteri Najib Razak (kanan) dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng semasa menghadiri majlis di Bayan Baru minggu lalu. Lim membalas kenyataan Najib yang mengatakan DAP akan mengabaikan pembangunan luar bandar jika pembangkang memenangi pilihan raya umum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2017.

LIM Guan Eng menolak dakwaan perdana menteri yang DAP akan mengabaikan pembangunan luar bandar sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, sejak 2008, Pulau Pinang memperuntukkan hampir 80% daripada dana pembangunannya di kawasan kurang maju.

“Tidak benar apa yang PM katatakan,” kata ketua menteri.

“Sejak tahun 2008 hingga tahun lepas, kami membelanjakan 77% dana pembangunan di Seberang Prai, tanah besar Pulau Pinang, yang mempunyai lebih banyak kawasan luar bandar.

“Sehingga tahun lepas, Pulau Pinang, di bawah Pakatan Harapan (PH), membelanjakan hampir RM2.38 bilion untuk membangun Seberang Prai.

“Kami hanya membelanjakan RM698 juta di pulau ini,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Komtar hari ini.

Dana berjumlah RM3.07 bilion disalurkan kepada pelbagai jabatan dan agensi negeri, termasuk Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan majlis tempatan untuk projek-projek pembangunan dan pembangunan infrastruktur.

“Kami berharap PM dapat memperoleh fakta yang betul, kami komited memberi pembangunan yang seimbang kepada Pulau Pinang,” kata setiausaha agung DAP itu.

“Kami telah memperbaiki ketidakseimbangan dalam pembangunan antara pulau dan tanah besar sejak mengambil alih Pulau Pinang pada tahun 2008.”

Perdana Menteri Najib Razak semalam berkata DAP tidak akan mengutamakan pembangunan luar bandar jika pembangkang memerintah negara.

Beliau berkata demikian pada Konvensyen Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP), Najib berkata walaupun wakil DAP tidak diletakkan pada barisan pimpinan tertinggi PH, ia masih lagi parti dominan dalam pakatan pembangkang.

“Kerajaan sentiasa mengambil berat masalah komuniti luar bandar. Kita jangan termakan hasutan mereka.

“DAP memiliki kuasa mutlak, bukan yang satu lagi. DAP tidak akan mengutamakan pembangunan masyarakat luar bandar,” katanya. – 23 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen