ARAB Saudi semalam berkata akan menubuhkan badan-badan kerajaan bagi meningkatkan pemantauan ke atas operasi risikannya, ekoran kecaman antarabangsa atas pembunuhan Jamal Khashoggi.
Kerajaan Arab Saudi berkata Khashoggi dibunuh dalam konsulatnya di Istanbul pada 2 Oktober lepas dalam “operasi jahat” yang diketuai oleh bekas ketua risikan, Ahmad al-Assiri, dan bekas penasihat istana, Saud al-Qahtani.
Raja Sulaiman kemudian mengarahkan agensi risikan utama di bawah pengawasan anaknya, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, distruktur semula selepas dikecam di peringkat antarabangsa susulan kematian Khashoggi walaupun kerajaan menafikan penglibatannya.
Menurut Agensi Media Arab Saudi, satu jawatankuasa yang diketuai oleh putera itu telah meluluskan penubuhan tiga jabatan untuk memastikan operasi risikan selari dengan dasar keselamatan negara, undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan prosedur yang diluluskan.
Bagaimanapun, kenyataan agensi itu tidak menyebut mengenai Khashoggi.
Penganalisis berkata kecaman antarabangsa berhubung pembunuhan wartawan itu telah menjejaskan reputasi putera itu di peringkat antarabangsa dan menyebabkan negara kaya minyak itu secara diplomatiknya lemah. – AFP, 21 Disember, 2018.
Komen