Perkahwinan tak jadi, Adib lebih dulu pergi


Alfian Z.M. Tahir

Jenazah pegawai bomba Muhammad Adib Mohd Kassim diterbangkan ke kampungnya di Kuala Kedah untuk dikebumikan Selasa lalu, diiringi teman-temannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 21 Disember, 2018.

SERAMAI 15 anggota bomba dari balai Subang Jaya sudah memohon cuti pada Ahad ini bagi menghadiri majlis perkahwinan rakan sekerja mereka di Kampung Tebengau, Kuala Kedah.

Sebaliknya, mereka menghadiri majlis pengebumian rakan sekerja yang sama, Selasa lalu.

Inilah kisah sedih yang berulang kali diceritakan berkali-kali sejak Selasa lalu di balai bomba itu.

Mereka 15 orang sepatutnya menghadiri majlis perkahwinan Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang meninggal dunia pada Isnin, selepas diserang oleh perusuh dalam insiden rusuhan di kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor, beberapa minggu lalu.

Adib ialah anggota di Kru C di balai bomba itu tetapi anggota bomba daripada beberapa kumpulan lain juga bercerita hanya yang baik-baik tentang Adib yang sepatutnya bernikah pada Ahad.

Anggota pasukannya, Mohd Rosliadi Jumadi mengetuai kumpulan itu, bersama rakan baik Adib di balai itu, Mohamad Fadhil Buari.

Mereka bercadang untuk bertolak ke kampung halaman Adib secara berkonvoi pada Sabtu malam.

Kad jemputan perkahwinan pegawai bomba Muhammad Adib Mohd Kassim diedarkan pada rakannya, untuk majlis pada Ahad ini. – Gambar The Malaysian Insight, 21 Disember, 2018.

Dan hari ini (Jumaat), beberapa orang daripada mereka sudah pun merancang dari awal untuk membelikan hadiah kahwin untuk Adib.

Rosliadi menyifatkan Adib sebagai seorang yang kelakar dan boleh buat mereka ketawa.

“Dia anggota yang berdisiplin. Kami tidak pernah ada masalah dengan dia. Kami semua selesa bila dia ada,” kata Rosliadi kepada The Malaysian Insight.

Nama dan gambar Muhammad Adib Mohd Kassim masih ada kelihatan di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 21 Disember, 2018.

Sementara itu, Fadhil yang berkawan dengan Adib sejak lima tahun lalu, menahan sebak ketika ditemu bual The Malaysian Insight.

“Kami semua di sini teruja hendak pergi majlis perkahwinannya. Kami sudah mohon cuti dan semuanya lulus. Kami sepatutnya bertolak ke Kedah esok malam,” kata Fadhil.

“Namun, kami 15 orang yang bercadang ke majlis kahwinnya, sebaliknya hadir ke pengebumiannya pula.

“Kami ada bincang untuk beli hadiah kahwin dia sebelum ke Kedah. Kami hendak beli hari ini.

“Saya sangat rapat dengan dia sejak dia mula menyertai kami di sini. Walaupun dia pendiam, tetapi dia kawan yang tidak akan kecewakan kita.”

Fadhil berkata kebanyakan masa lapangnya dihabiskan dengan Adib di rumahnya di Taman Medan, malah katanya mereka sudah biasa berkongsi makanan.

Malam insiden malang

Rosliadi, 24, berasal dari Sabah, kemudian bercerita tentang apa yang berlaku pada malam mereka diserang. Ia malam kedua rusuhan di kuil itu berlaku, selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu kuil itu pada malam sebelumnya.

“Kami terkejut apabila trak dan van kami diserang. Ia sangat menakutkan dan saya sendiri memang ada rasa takut,” katanya.

“Kami diserang dengan pelbagai jenis senjata, dari batu sampai ke batang besi. Kerosakan teruk sangat dan nasib baik cermin trak tidak berkecai.

“Saya tidak boleh hendak bayangkan jika cermin itu berkecai. Tentu lain ceritanya buat kami masa itu.

“Orang terlalu ramai dan macam zon perang. Saya tidak pernah lihat keadaan macam itu sebelum ini.”

Uniform dan kelengkapan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang bernombor 17476 masih tergantung di rak di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 21 Disember, 2018.

Adib dikatakan berada di dalam van kecemasan yang juga rosak teruk. Dilaporkan Adib ditarik keluar dari van itu ketika cuba meninggalkan tempat rusuhan. Tidak diketahui bagaimana Adib ditarik keluar dari kenderaan itu.

Sementara itu, Fadhil memberitahu The Malaysian Insight beliau ada berborak dengan Adib berhampiran menara hos di balai, kira-kira 20 minit sebelum panggilan kecemasan diterima.

“Saya baru habis syif. Seperti biasa saya lepak sekejap dengan Adib. Kami duduk dekat menara hos dan berbual tentang perkahwinannya,” kata Fadhil.

“Dia tanya kami sudah mohon cuti dan pasti akan datang ke majlisnya, atau tidak. Dia gembira.”

Dan itu kali terakhir Fadhil bercakap dengan Adib.

“Terlalu kecoh di tempat kejadian dan tiba-tiba saya dapat tahu Adib hilang dan sekumpulan lelaki sudah bawa dia ke Pusat Perubatan Subang Jaya untuk mendapatkan rawatan.

“Saya ke hospital dan nampak dia tidak sedarkan diri. Ketika jenazahnya diterbangkan pulang ke Kedah, saya berada di dalam helikopter menemaninya,” kata Fadhil.

Muhammad Adib Mohd Kassim (kiri) bersama kawan rapatnya, Mohamad Fadhil Buari (tengah) dan seorang lagi rakan bergambar di balai bomba tempat mereka bertugas pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun lalu. – Gambar The Malaysian Insight, 21 Disember, 2018.

Pegawai kanan Zulkifli Mohktar menyifatkan kematian Adib sebagai kerugian besar bagi balai itu.

“Kami bukan saja hilang seorang kawan, tetapi ahli keluarga kami,” katanya, menambah Adib bersama pasukan itu selama empat tahun.

“Dia akan dikenang sebagai anggota bomba yang rajin dan komited.”

Bagi 15 anggota bomba itu, mereka membatalkan cuti dan akan bekerja seperti biasa pada Ahad ini.

Adib meninggal dunia pada Isnin di Institut Jantung Negara.

Polis menahan empat lelaki dipercayai terbabit dalam kes serangan Adib. Mereka dilepaskan dengan ikat jamin selepas keterangan diambil. – 21 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen