Dron berkeliaran, tentera dikerah ke lapangan terbang London


Puluhan ribu penumpang yang mahu pulang meraikan Krismas terkandas sejak 24 jam lalu, selepas landasan di lapangan terbang Gatwick di London ditutup kerana dron berkeliaran di ruang udaranya. – Gambar EPA, 21 Disember, 2018.

BRITAIN membawa tenteranya ke lapangan terbang Gatwick di London selepas berpuluh-puluh dron kelihatan di ruang udaranya sejak 24 jam lalu hingga menyebabkan semua penerbangan ditangguhkan mengakibatkan ribuan penumpang yang mahu pulang sempena Krismas, terkandas.

Lapangan terbang itu, yang menutup satu-satunya landasannya pada malam Rabu selepas “dua dron kelihatan terbang di sekitar ruang udara”, berkata ia tidak boleh dibuka semula susulan semakin banyak dron kelihatan di situ.

“Landasan Gatwick masih tidak dibuka kerana dron masih berterusan kelihatan di situ,” katanya pada 11malam tadi.

Polis dan pihak berkuasa lapangan terbang mereka dron itu diterbangkan dengan sengaja untuk mengganggu lapangan terbang itu.

Dron besar dilihat di kawasan berhampiran lapangan terbang lebih 50 kali dalam tempoh 24 jam, kata polis malam tadi.

Ketua detektif Jason Tingley berkata pegawainya pada masa ini mempertimbangkan untuk menembak jatuh dron itu, walaupun sebelum ini pihak berkuasa berkata agak bahaya berbuat demikian kerana bimbang peluru dilepaskan secara rawak.

Penutupan landasan itu menyebabkan puluhan ribu penumpang terkandas, beberapa hari sebelum Krismas, dan menyebabkan operasi ketenteraan yang luar biasa.

Peralatan khas dihantar oleh Kementerian Pertahanan ke lapangan terbang itu bagi membantu polis Sussex. – AFP, 21 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen