Teater Mona ke Daerah M asuh anak-anak terpinggir 


Nabihah Hamid

Anak yatim, anak pelarian Rohingya dan juga dari jalanan Kuala Lumpur ditampilkan sebagai pelakon utama. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 Disember, 2018.

KEMPEN mengasuh anak-anak kurang bernasib baik melalui karya seni diteruskan oleh pergerakan Teach For The Needs (TFTN) pada tahun ini dengan pementasan teater Mona Ke Daerah M.

Festival kali ini juga menampilkan kanak-kanak terpinggir sebagai pelakon utama – dari rumah anak yatim, anak pelarian Rohingya dan juga dari jalanan Kuala Lumpur.

Pengarahnya Fazleena Hishamuddin berkata, pementasan itu digunakan untuk meningkatkan keyakinan di kalangan kanak-kanak berusia antara 10 hingga 17 ini yang hidup serba kekurangan.

“Anak-anak dalam kelompok ini tidak mendapat kelengkapan seperti kanak-kanak yang ada ibu bapa. Golongan itu sanggup hantar anak belajar teater dan sebagainya. 

“Di sini kita menggunakan teater untuk mengajar dan membimbing mereka tentang diri mereka. Melalui teater kita mengenal elemen kemanusiaan seperti menghormati kawan,” katanya.

Selain keyakinan diri, satu lagi nilai utama yang diterap di kalangan anak-anak ini adalah kemahiran bersosial, katanya.

Pengarah  teater Mona Ke Daerah M, Fazleena Hishamuddin berkata, pementasan itu digunakan untuk meningkatkan keyakinan di kalangan kanak-kanak berusia antara 10 hingga 17 ini yang hidup serba kekurangan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 Disember, 2018.

“Ini senjata dalam teater yang sebenarnya boleh membantu anak-anak. Ia juga untuk meningkatkan kemahiran sosial mereka. Mereka dalam lingkungan yang rapuh, dari kecil ditinggalkan. 

“Kita nak beritahu melalui teater. Teater, benda paling besar yang mengajar kita ialah keyakinan diri,” kata penulis buku Seksi Ovari itu dalam satu temubual bersama The Malaysian Insight. 

Pelakon termuda Mohamad Haziq Rohaizad, 10, mengakui mendapat pengalaman yang manfaat selepas menyertai teater Mona ke Daerah M. 

Katanya, segala ajaran yang diberikan mampu dimanfaatkan dalam kehidupan seharian kerana keyakinan dirinya bertambah. 

“Saya masa mula-mula terkejut juga saya terpilih. Kak Faz ajar macamana cara nak cakap. Mula-mula jumpa terkejut, nak berkenalan. Kita belajar watak, berlakon,” katanya. 

Turut sependapat dengannya, Nurul Elyana Jumaat, 16, pelakon dari Rumah Anak Yatim Batu Pahat. 

“Mula-mula rasa takut dan kemudian keyakinan bertambah sebab kita diajar macamana hendak bergaul. Bila kami baca skrip sama-sama, kita sama-sama belajar. Bila tidak faham ada kakak-kakak ajar,” katanya. 

Dalam pada itu, Pembantu Pengarah Teater Syahanz Akhbar, 30 merasa bangga kerana dapat membantu dan mendidik anak-anak terpinggir ini bersemuka dengan khalayak. 

“Anak-anak yatim yang kita tahu lebih suka bersendiri dan teater ini mereka jumpa dengan orang baru. Ia sangat penting mereka boleh melihat orang luar,” katanya kepada The Malaysian Insight.  

Teater ini mengisahkan Mona, seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun mencari adiknya Hana yang hilang dibawa oleh satu watak kartun bernama Mega. 

Mona dengan ditemani satu anak patung bernama Bobby menempuh pelbagai cabaran di Daerah M sebelum akhirnya bertemu Mega.

Watak Mega dipegang pelakon terkenal Amerul Affendi sebagai penampilan istimewa dalam pementasan karya penulis muda Amar Amir ini.

Pementasan merupakan kesinambungan kepada Festival Teater Anak TFTN edisi pertama yang dilangsungkan pada 2014. 

Ia diikuti dengan dua pementasan teater Kota Kelip-Kelip pada 2015 dan Disember 2016 di Penang PAC, Pulau Pinang.

Pementasan Mona Ke Daerah M berlangsung di Auditorium Dewan Budaya dan Pustaka bermula hari ini hingga 23 Disember. – 21 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen