Tiada bukti kilang Sungai Lembu penyebab kanser, kata exco


Looi Sue-Chern

Dari kiri, exco alam sekitar Phee Boon Poh, Pengerusi JKKK Sungai Lembu Tan Sing Lee, Ketua Menteri Lim Guan Eng, exco kesihatan Dr Afif Bahardin dan Setiausaha JKKK Sungai Lembu Yeo Keng Chuan bergambar selepas sidang akhbar hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-Chern, 23 Ogs, 2017.

DAKWAAN mengatakan kilang haram memproses penapis karbon di Sungai Lembu menyebabkan kanser dalam kalangan penduduk setempat tidak dapat dibuktikan.

Exco Kesihatan Pulau Pinang Dr Afif Bahardin berkata dakwaan seperti itu “propaganda berniat jahat” yang digunakan pesaing politik Pakatan Harapan (PH).

“Apa yang mereka tunjuk tidak mewakili statistik perubatan pesakit kanser,” katanya kepada wartawan hari ini.

Terdahulu Barisan Nasional (BN) menyerang kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung dakwaannya tidak mengambil tindakan terhadap kilang itu, di mana penduduk Kampung Sungai Lembu berkata kilang itu menyebabkan pencemaran udara.

BN memetik laporan yang kadar kanser di kampung itu – 11 daripada 500 orang – diterjemahkan kepada kadar berlakunya kanser sebanyak 2,200 mangsa dalam 100,000 orang atau 2,342% lebih tinggi berbanding purata negara.

Kerajaan negeri hari ini menunjukkan minit mesyuarat beberapa agensi dalam pertemuan di majlis daerah Seberang Prai pada 2015 yang turut menyatakan pejabat kesihatan daerah menerima senarai 12 pesakit kanser dari kampung itu dan menyiasat sama ada ia berpunca daripada kilang terbabit.

Empat mengalami kanser payudara sementara dua lagi kanser saluran penghadaman. Terdapat dua kes kanser paru-paru dan dua kanser hati. Seorang mengalami kanser nasofarinks. Individu terakhir didapati menghidap tekanan darah tinggi, bukan kanser.

“Dua penghidap kanser payudara itu adik-beradik. Pesakit kanser berkenaan berumur antara 41 dan 85 tahun, dengan kebanyakan lingkungan 50 tahun ke atas. Kebanyakan kes kanser berlaku dengan pertambahan umur.

“Risiko jenis kanser itu juga meningkat bagi mereka berumur 45 tahun ke atas.

“Tetapi tidak ada seorang pun pesakit dari Sungai Lembu itu bekerja di kilang haram berkenaan. Lokasi kilang juga di tempat tersembunyi, jauh dari laluan utama digunakan penduduk.

“Maka tidak dapat dipastikan yang kilang itu menyumbang kepada risiko kanser,” kata jawapan jabatan kesihatan seperti dinyatakan dalam minit itu.

Dr Afif berkata laporan daripada jabatan kesihatan dari 2015 itu masih sah.

Kilang haram itu terletak di ladang kelapa sawit di Sungai Lembu, Penanti dan beroperasi sejak lebih 10 tahun lalu, membakar habuk untuk dijadikan karbon. Dilaporkan penduduk membuat aduan mengenai kilang itu sejak 2008.

Pada 10 Ogos, kilang itu diserbu pihak berkuasa persekutuan. Hari berikutnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan exco Pulau Piang Phee Boon Poh dan pengurus serta pengarah kilang terbabit. Mereka dibebaskan pada 14 Ogos.

Kes SPRM terhadap Phee yang disiasat kerana didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan ganjaran, mencetuskan serangan politik terhadap kerajaan negeri.

Phee pada sidang media di Komtar berkata beliau kesal media milik BN dan akhbar harian berbahasa Cina tidak menyiarkan penjelasannya berhubung isu itu tidak sama luas ketika liputan “penahanan tidak sah” yang dibuat terhadapnya oleh SPRM.

Semalam, kerajaan negeri mendedahkan minit mesyuarat pada Mei 2015 yang diadakan untuk membincangkan isu kilang haram.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan dalam mesyuarat itu mereka mendapati kilang itu tidak menyebabkan pencemaran.

Phee berkata beliau akan terus berhubung dengan pemimpin Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JKKK) kampung itu secara langsung, mengelak orang tengah bagi mencegah salah faham.

“Kami akan bekerjasama untuk mematuhi dasar kerajaan negeri dan garis panduan pelbagai jabatan teknikal,” katanya.

Pengerusi JKKK Sungai Lembu Tan Sing Lee dan Yeo Keng Chuan yang turut hadir berkata mereka lega kerajaan negeri tidak pernah membelakangkan rakyat bila aduan dibuat.

Tan berkata kerajaan negeri berjanji akan membantu mereka jika berdepan masalah kilang haram.

Sementara itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata Pulau Pinang konsisten dengan pendiriannya berhubung alam sekitar.

“Kami iktiraf JAS sebagai pakar dan syornya terhadap perkara berkaitan alam sekitar. Tetapi bila berkenaan bahan radioaktif, dasar kami akan tolak walaupun jika jabatan itu kata ia selamat.

“Ia kerana negara lebih maju seperti Jerman dan Jepun menutup loji nuklear kerana alasan keselamatan. Jadi di Pulau Pinang, walau apa pun keselamatan yang dijamin, dasar kami tidak akan terima sebarang aktiviti yang berkenaan dengan bahan radioaktif,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap dakwaan sesetengah pemimpin BN yang mengatakan Pulau Pinang berat sebelah ketika mengendalikan isu kilang Sungai Lembu berbanding tentangan PH terhadap Lynas dan projek loji nuklear. – 23 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen