Saham Airbus jatuh ekoran laporan siasatan rasuah 


Akhbar Perancis, Le Monde melaporkan syarikat pembuat pesawat komersial Eropah itu mungkin berdepan denda berbilion dolar di bawah siasatan rasuah di Amerika Syarikat. – Gambar EPA, 20 Disember, 2018.

SAHAM Airbus jatuh hampir sembilan peratus pada Khamis selepas akhbar Perancis, Le Monde melaporkan syarikat pembuat pesawat komersial Eropah itu mungkin berdepan denda berbilion dolar di bawah siasatan rasuah di Amerika Syarikat (AS).

Menurut Le Monde, Jabatan Kehakiman AS (DoJ) telah membuka satu siasatan bagi “amalan tidak wajar” pada hujung 2017 dan memaklumkan kepada Airbus yang ia disiasat pada hujung musim panas.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata ia bekerjasama dengan pihak berkuasa AS.

Siasatan dibuka susulan pendedahan Airbus pada awal 2016 yang ia gagal memaklumkan pihak berkuasa mengenai bayaran kepada orang tengah untuk mendapatkan beberapa kontrak, khususnya di Asia.

Beberapa bulan kemudian, Pejabat Penipuan Serius (SFO) Britain membuka siasatan ke atas penipuan dan rasuah terhadap dakwaan “penyelewengan melibatkan perunding pihak ketiga”.

SFO bekerjasama dengan Pejabat Pendakwa Raya Kewangan Perancis (PNF) yang turut melancarkan siasatan ke atas urusniaga tersebut.

Pada Oktober 2017, Airbus memberi amaran yang siasatan itu boleh menjejaskan pendapatannya.

Sekiranya siasatan DoJ itu menyebabkan keputusan mahkamah tidak berpihak kepada Airbus, syarikat itu akan dilarang daripada membina kontrak antarabangsa selama lima tahun, lapor Le Monde. – AFP, 20 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen