Perancis kekalkan tentera di Syria


Menteri Hal Ehwal Eropah Nathalie Loiseau berkata "perjuangan terhadap keganasan belum berakhir". – Gambar AFP, 20 Disember, 2018.

PERANCIS akan terus kekal dalam pakatan melawan kumpulan Islamic State (IS) di Syria walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump secara mengejut telah mengarahkan tentera AS berundur.

“Buat masa ini, kami akan kekal berada di Syria,” kata Menteri Hal Ehwal Eropah Nathalie Loiseau di televisyen CNews, sambil menambah “perjuangan terhadap keganasan belum berakhir”.

“Memang benar, pakatan telah membuat kemajuan besar di Syria, tetapi perjuanga ini tidak berhenti dan kami akan meneruskannya,” kata Loiseau.

Perancis telahpun menempatkan jet-jet pejuang di Jordan dan meriam di sepanjang sempadan Syria di Iraq serta beberapa pasukan khas yang tidak didedahkan jumlahnya di lapangan. 

Trump menerusi video di Twitter pada Rabu berkata: “Kita telah menewaskan ISIS,” satu lagi akronim bagi IS. Trump juga berkata sudah tiba masanya kira-kira 2,000 anggota tentera AS dipanggil pulang.

Pengumuman itu mengejutkan memandangkan AS telah berikrar akan menyokong sekutu Kurdish untuk menentang IS di Syria.

Rakan-rakan sekutu lain memberi amaran bahawa ancaman IS masih belum dibasmi sepenuhnya walaupun kumpulan itu hilang sebahagian besar wilayah dudukannya.

Menteri Pertahanan Perancis Florence Parly pada Khamis berkata kumpulan IS belum terhapus.

“Kita mesti memerangi saki baki organisasi pengganas ini,” katanya. – AFP, 20 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen