BERPULUH ribu pemandu teksi di Korea Selatan mogok pada Khamis, sebagai tanda protes terhadap perkhidmatan kongsi kereta ala Uber.
Kira-kira 50,000 pemandu teksi yang memakai pengikat kepala, melaungkan slogan sambil memegang sepanduk, berhimpun di luar bangunan Parlimen. Mereka mendesak supaya aplikasi “car pool” diharamkan.
Menurut mereka, perkhidmatan yang diperkenalkan oleh KakaoTalk - aplikasi sembang atas talian (chat) terbesar di Korea Selatan - akan menjejaskan mata pencarian mereka.
Minggu lepas, seorang pemandu teksi berusia 57 tahun membunuh diri dengan membakar dirinya dalam satu bantahan di luar bangunan Parliemen di Seoul sehingga memaksa KakaoTalk menangguhkan pelancaran perkhidmatan mereka yang sepatutnya diadakan minggu ini.
Hanya 252,000 teksi yang mengambil penumpang pada Khamis, kata agensi berita Yonhap.
Kesesakan dilaporkan di beberapa lebuh raya menuju ke Seoul. Yonhap melaporkan seramai 9,000 anggota polis rusuhan dikerah untuk mengawal keadaan.
Pada 2015 Uber terpaksa menutup perkhidmatan kongsi kereta di Korea Selatan akibat bantahan daripada pemandu teksi.
Lebih daripada 80 peratus penduduk Korea Selatan menggunakan aplikasi KakaoTalk. Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, berpuluh ribu pemandu teksi mengandakan himpunan besar-besaran bagi mengutuk perkhidmatan kongsi kereta. – AFP, 20 Disember, 2018.
Komen