PIHAK berkuasa Maghribi berkata pembunuhan dua pelancong asing wanita di sebuah kawasan pergunungan dalam wilayah tengah negara itu adalah “perbuatan pengganas.”
Mayat dua pelancong wanita, masing-masing dari Denmark dan Norway, ditemui pada Isnin di sebuah kawasan pergunungan terpencil, kira-kira 10 kilometer dari sebuah perkampungan pelancong, Imlil, berhampiran bandar Marrakesh.
Jurucakap polis, Boubker Sabik, memberitahu pemberita bahawa “hipotesis pengganas tidak diketepikan,” sambil menambah siasatan sedang dijalankan untuk “mencapai rumusan akhir.”
Sabik berkata empat suspek terlibat secara langsung dalam pembunuhan itu, termasuk seorang yang ditahan susulan serangan tersebut.
Pendakwa raya di Mahkamah Rayuan Rabat mengumumkan dalam satu kenyataan pada Rabu bahawa siasatan mendedahkan suspek yang ditahan “merupakan anggota sebuah kumpulan pelampau.”
Suspek lain dikenal pasti, menurut kenyataan itu, yang menambah bahawa pemburuan sedang dijalankan untuk memberkas mereka. – Bernama, 20 Disember, 2018.
Komen