Majlis Tertinggi Umno dijadual bermesyuarat esok, kata pejabat parti


SM Amin

Majlis Tertinggi Umno sepatutnya mengadakan satu mesyuarat khas pada Ahad lepas tetapi ditangguhkan tanpa alasan jelas ketika lebih ramai ahli Parlimennya keluar parti minggu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Disember, 2018.

MAJLIS Tertinggi (MT) Umno dijadual akan bermesyuarat esok, kata sumber ibu pejabat parti, dua hari selepas Presiden Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas beliau sebagai presiden kepada timbalannya Mohamad Hasan.

“Ya betul. MT dijadualkan bermesyuarat esok tetapi belum dimuktamadkan lagi.

“Masa belum ditetapkan lagi,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

MT Umno sepatutnya mengadakan satu mesyuarat khas pada Ahad lepas tetapi ditangguhkan tanpa alasan jelas ketika lebih ramai ahli Parlimennya keluar parti minggu lalu.

Mesyuarat Ahad lalu dipanggil oleh Setiausaha Agung Umno Annuar Musa melalui sepucuk surat bertarikh 12 Disember, hari yang sama wakil rakyat dan ketua bahagian Umno di Sabah mengisytiharkan diri keluar parti.

Hanya dua hari selepas surat panggilan mesyuarat dikeluarkan, enam lagi ahli Parlimen Umno keluar parti.

Sehari sebelum itu, tersebar berita Zahid sedang menggerakkan usaha cuba mendapat sokongan akar umbi untuk Umno bekerjasama dengan PKR dan DAP.

Mesyuarat itu dibatalkan ketika akar umbi Umno lantang mendesak Zahid berundur selepas merasakan beliau tidak dapat memberikan kepimpinan yang diperlukan parti.

Menurut sumber, mesyuarat MT Ahad lalu dibatalkan kerana bimbang isu-isu itu mungkin akan berbangkit dalam mesyuarat malam ini dan memberi tekanan kepada Zahid untuk berundur.

Kali terakhir MT mengadakan mesyuarat pada 9 November lalu dan isu hangat yang dibincangkan adalah mengenai cadangan Pergerakan Pemuda Umno yang mahukan Zahid “berehat” sebagai presiden dan isu penggabungan dengan parti lain.

Isu itu bagaimanapun kini tidak berbangkit selepas Zahid mengumumkan menyerah tugas presiden kepada timbalannya, Mohamad kelmarin.

Penyerahan tugas itu diterima oleh mesyuarat pengurusan Umno semalam.

Tugas Mohamad kini dijalankan oleh Ismail Sabri atas kedudukan sebagai naib presiden paling kanan. – 20 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen