Hampir 700 paderi di Illinois didakwa lakukan penderaan seksual


Gereja Katolik dilanda beberapa siri skandal penderaan seksual terhadap kanak-kanak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan dakwaan meluas mengenai usaha cuba melindunginya. – Gambar AFP, 20 Disember, 2018.

HAMPIR 700 orang paderi di Illinois dituduh melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak, jumlah yang jauh lebih besar berbanding Gereja Katolik sebelum ini didedahkan, kata pihak pendakwa tertinggi negara Midwestern AS pada Rabu.

Peguam Negara Illinois, Lisa Madigan, berkata pendedahan gereja bahawa 185 orang paderi dituduh melakukan penderaan seksual tidak selari dengan jumlah direkodkan pihaknya.

Hasil penyiasatan awal yang bermula pada Ogos mendapati lebih 500 paderi dituduh melakukan penderaan seksual di enam negeri di Midwestern - sekurang-kurangnya 685 didakwa.

Dalam satu kenyataan pedas, pejabat peguam negara mengkritik cara pihak gereja menangani tuduhan penderaan, mengatakan kekurangan siasatan, dan dalam kebanyakan kes penguatkuasaan undang-undang dan pihak berkuasa kebajikan kanak-kanak tidak diberitahu.

“Peringkat awal penyiasatan ini menunjukkan pihak Gereja Katolik tidak boleh bertindak sendirian,” kata Madigan.

Beliau menambah gereja itu gagal memberikan “fakta lengkap dan tepat mengenai semua tingkah laku seksual tidak sepatutnya yang melibatkan paderi di Illinois.”

Siasatan Illinois dibuat susulan laporan juri pada Ogos yang mendedahkan tuduhan yang boleh dipercayai terhadap lebih 300 orang paderi yang disyaki dan mengenal pasti lebih 1,000 mangsa penderaan seksual kanak-kanak yang dilindungi selama beberapa dekad oleh Gereja Katolik di Pennsylvania.

Pada Oktober, pihak berkuasa persekutuan buat kali pertama membuka siasatan terhadap penderaan semua paderi ini.

Pihak gereja negeri melaporkan menerima sepina juri persekutuan untuk mengemukakan dokumen.– Bernama, 20 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen