China tahan rakyat Kanada lagi


China menahan rakyat Kanada yang ketiga, selepas menahan seorang bekas diplomat dan usahawan negara itu, selepas penahanan eksekutif kanan Huawei di Vancouver pada awal bulan ini. – Gambar EPA, 20 Disember, 2018.

CHINA menahan rakyat Kanada yang ketiga – ketika hubungan diplomatik antara kedua-dua negara sedang tegang susulan penahanan seorang eksekutif telekom warga China.

Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau bagaimanapun menekankan penahanan itu tidak ada kaitan dengan bekas diplomat dan seorang usahawan yang ditahan kerana didakwa membahayakan keselamatan negara China.

“Kami sedang menyiasat secara terperinci tetapi tangkapan terbaru itu nampaknya tidak padan dengan corak dua penahanan sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar.

Terdahulu, jurucakap Kementerian Luar Maegan Graveline berkata kerajaan tahu tentang seorang lagi rakyat Kanada ditahan di China, tetapi tidak memberi keterangan lanjut. Individu yang ditahan masih belum dikenal pasti.

Jurucakap Kementerian Luar China Hua Chunying memberitahu media bahawa beliau “tidak dengar” tentang penahanan, yang dilaporkan kali pertama di media Kanada, National Post.

Semua tiga penahanan itu dibuat susulan tahanan dibuat terhadap ketua pegawai kewangan Huawei Meng Wanzhou di Vancouver pada 1 Disember atau permintaan Amerika Syarikat (AS).

Meng dibebaskan dengan ikat jamin minggu lalu sehingga perbicaraan mengekstradisinya ke AS didengar berhubung pertuduhan kes penipuan berkaitan urus niaga dengan Iran.

China menahan bekas diplomat Kanada, Michael Kovrig dan konsultan perniagaan berpangkalan di China, Michael Spavor pada 10 Disember.

Tiada kaitan antara kedua-dua kes setakat ini, tetapi China disyaki berbuat demikian sebagai bantahan terhadap penahanan warganya di Kanada.

Kovrig mengambil cuti tanpa gaji daripada jawatan diplomat untuk bekerja sebagai penasihat kanan di badan pemikir International Crisis Group di Hong Kong sementara Spavor menguruskan lawatan ke Korea Utara, termasuk kunjungan bekas bintang NBA Dennis Rodman. – AFP, 20 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen