PENGETAHUAN Tuhan bukan semata-mata ada di tangan mufti atau agamawan sebaliknya terpancar dari Al-Quran. Sesiapa pun layak dan berhak menikmatinya. Ironinya, dalam soal agama, masyarakat kita lebih bertuhankan mufti atau agamawan yang ditauliahkan.
Walau berstatus profesor, sarjana agama, apabila sentuh bab agama, biarlah mufti yang jawab – itu pasti selamat. Hujah daripada kesimpulan mufti, itulah kehendak agama.
Walau ada ragam pilihan, kesimpulan mufti muktamad, tidak harus diragui. Pandangan lain ditepis, tidak boleh pakai. Justeru, kerana malas berfikir, umat menjadi burung belatuk – terangguk-angguk jawapan mufti. Tutur kata mufti, itulah Islam.
Maka pegawai-pegawai mufti bertungkus lumus mengkaji, menulis. Siap dan pampangkan di Internet – inilah hukum Islam yang umat kena ikut.
Itulah pandangan Islam ditunggu-tunggu – paling autoritatif. Dogma umat beragama – majoriti atau autoritatif adalah ukuran keabsahan kebenaran.
Dulu marah-marahkan orang yang bermudah-mudah soal agama, buka Internet dapat jawapan – diejek sebagai ustaz mi segera. Begitu juga budaya belenggu dalam hukum agama. Mahu belajar mesti berguru – melutut, bertalaqi. Belajar di Youtube dianggap belajar dengan syaitan. Kini sama saja – faham agama cukup sekadar klik kenyataan mufti. Di situ kebenaran terpampang.
Betapa kita mudah berpuas hati tentang kesimpulan agama – malas berfikir. Suka disuap. Itulah sikap umat Melayu Islam.
Benar. Tidak semua layak bercakap atau semberono keluarkan hukum agama. Ada batas dan nilai perlu dijaga. Tetapi budaya kebebasan berfikir melampaui norma agama harus dibuka. Kena adil pada kelompok dan pandangan minoriti. Mufti atau agamawan jangan mudah-mudah buat kesimpulan. Buka jalan, bukan menghukum. Hukum pula jangan diswastakan. Lebih-lebih lagi soal identiti dan keimanan peribadi.
Tunggalnya keragaman?
Keberagaman tidak pernah seragam. Begitu kata Amartya Sen dalam bukunya Identity and Violence. Dunia bukan untuk memahami kumpulan tertentu sahaja tetapi merangkumi luasnya identiti budaya, pemikiran dan tata hidup termasuk kelompok berbeza aliran dan gaya hidup luar kelaziman Melayu Islam. Jangan sempitkan wacana agama. Syiah, Qadiayani, LGBT. Jangan dipaksa patuh kepada dominan hingga keberagaman jadi tunggal.
Masalah terjadi apabila keberagaman ditunggalkan sebagai sistem – swastakan hukum jadi fatwa. Pandangan majoriti tidak harus didominankan hingga mematikan kebebasan pilihan dan keimanan peribadi. Kemajmukan identiti disempitkan. Kongkongan melalui hukum (fatwa) boleh menjarakkan jurang dengan kelompok lain – melalui pemaksaan identiti atas nama agama. Sedangkan kemajmukan pemikiran tidak boleh ditunggalkan. Beri pilihan dan kebebasan. Keterikatan hanya memicu pertikaian dan sektarian.
Akhirnya kemanusiaan dicabik. Kepelbagaian dipaksa menjadi tunggal, dominasi agama, komuniti, bangsa, dan budaya. Buang pilihan awam seolah-olah membuang kebebasan berfikir.
Sesungguhnya, faktor penting membangunkan masyarakat sivil – semua warga bebas bercakap dan menikmati kebebasan. Penguasa, walau atas nama agama sekalipun, jangan tutup ruang kebebasan. Apatah lagi membuat kesimpulan atas nama fatwa. Kelak jadi dogma.
Jangan jadikan fatwa sebagai belantan menindas pemikiran minoriti. Islam adalah kebebasan. Contohilah Rasulullah. Baginda memahami keberagaman. Tidak memaksa-maksa satu-satu pandangan, malah mengajak manusia jadi lebih empati dan manusiawi – hak individu.
Telunjuk mufti
Melayu Islam mengalami dogma berfikir? Dipasung penguasa dengan ditakut-takutkan, ditambah pula benturan naratif budaya beragama yang dibentuk hukum tunggal. Persoalan agama seperti pakej pasang-siap oleh autoritatif. Suara mufti adalah trompet bagaimana agama dilagukan. Umat dilarang berfikir soal agama, dialog jadi terbatas dan sempit.
Sebenarnya, sesiapa pun bebas menikmati agama. Agama tidak harus dikawal sesiapa jua, bahkan negara tidak boleh menentukan urusan keimanan umat. Malang sekali, diskusi selalu dikawal penguasa ? anggukkan sahaja fatwa penguasa atau institusi agama.
Walhal peranan dialog telah diperkasa sejak zaman kekhalifahan Bani Abbas dihadiri ulama dari pelbagai aliran. Mereka berdiskusi keberagaman ajaran dengan bebas dan aman. Penguasa dan rakyat bebas melahirkan pandangan tanpa disekati. Itulah Islam. Tidak pula dituding sebagai sesat.
Diskusi agama tidak dogmatis atau patuh telunjuk satu-satu pandangan. Tidak takut berfikir atau melontarkan pandangan di luar kebiasaan ajaran dan budaya.
Maka benarlah, kemunduran umat Islam bukanlah rencana konspirasi Barat. Sebaliknya dipuncai sikap keras dan jumud. Takut berfikir. Kebodohan diri pula ditutupi dengan alasan inilah kejahatan Barat.
Majoriti umat Islam masih memandang kebenaran hanya dua sumber utama. Jika bukan wahyu maka akal; jika bukan akal, maka wahyu. Tiada pilihan lain. Ini disebut pemikiran bi alwahy au bi aqli. Salah satu daripadanya mesti jadi sumber kebenaran.
Ini disanggah tokoh Islam Ibn Rushd melalui hujah haqiqah muzdawaja (double truth) – kedua-duanya tidak boleh dipisahkan. Memikir keagamaan tidak membuang agama; berfikir agama tidak membuang akal.
Sejarah membuktikan kebanyakan pengetahuan ditentukan oleh ulama ortodoks. Mereka tutup pintu kebebasan ilmu dan akal – Hellenization of Islam. Ulama membuang akal dalam aturan agama terutama berkaitan tafsiran Quran dan syariah. Bagi mereka, wahyu satu-satu sumber kebenaran mutlak yang tunggal.
Walau pemerintah seperti Khalifah al-Makmun mendirikan Darul Hikmah, beliau gagal kerana usahanya tidak disambut oleh ulama-ulama ortodoks. Lembaga pembelajaran Islam tetap sakral dan eksklusif. Tidak boleh diusik. Urusan agama ditentukan dengan lidah ulama.
Kebebasan diskusi
Justeru, kelompok agama wajib mengisi pencerahan dan kemodenan dalam ruang beragama. Diskusi dan dialog tidak boleh dipisahkan.
Ruang awam harus jadi pusat saling-belajar keberagaman agama dan ilmu pengetahuan. Walau melangkaui golongan tidak beragama sekalipun – saling belajar. Tidak memisahkan identiti – ragam jadi tunggal.
Masyarakat tidak boleh mudah selesa idea-idea agama. Hatta mufti sekalipun. Mana mungkin soal agama dibataskan tanpa manusiawi. Kebebasan berfikir jalan keluar masyarakat suap.
Agama mesti diberi kebebasan dalam ruang awam. Biar masyarakat berdiskusi tanpa batas. Soal agama, biarlah kajian, kefahaman dan keimanan yang tentukan. Pemerintah jangan kacau.
Pendemokrasian bersifat keagamaan – ruang diskusi memahami agama – bermula dengan ruang kepercayaan peribadi. Hukum bergerak berdasarkan sumber budaya dan perkembangan tabiat masyarakat. Individu pula dapat menikmati ruang peribadi untuk faham agama. Bukan dengan membabi buta. Bukan juga ditentukan oleh mufti.
Semua orang bebas mentafsir. Betapa agama bukan milik mufti seorang dua. – 20 Disember, 2018.
* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen