Presiden Brazil dikenakan tuduhan rasuah sekali lagi


Presiden Brazil Michel Temer berdepan satu lagi tuduhan rasuah, didakwa diterima daripada syarikat mengendalikan pelabuhan membabitkan nilai AS$8 juta. – Gambar AFP, 20 Disember, 2018.

KETUA pendakwa raya Brazil melaporkan tuduhan rasuah baru terhadap Presiden Michel Temer semalam, mendakwanya menerima rasuah daripada syarikat terbabit dalam mengendalikan pelabuhan, ketika menjadi timbalan presiden.

Ia pendakwaan rasuah ketiga dikenakan terhadap presiden yang bakal digantikan dengan Jair Bolsonaro pada 1 Januari depan yang menang pilihan raya pada Oktober lalu.

Ketua Pendakwa Raya Raquel Dodge dalam satu kenyataan berkata Temer dan lima yang lain disyaki terbabit dalam rasuah, yang membabitkan empat syarikat pelabuhan dengan nilai AS$8 juta.

Temer juga disyaki terbabit melakukan pengubahan wang haram dalam kes itu.

Beliau sebelum ini terlepas dua tuduhan rasuah selepas kongres Brazil mengundi membatalkan tuduhan itu.

Tuduhan terbaru itu bakal mendatangkan lebih masalah kepadanya, namun kongres tidak akan mempunyai masa mencukupi untuk menilai pertuduhan itu sebelum mandat Bolsonaro bermula. – AFP, 20 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen