Trump umum menang lawan IS di Syria, arah tentera pulang


Pada masa ini, kira-kira 2,000 tentera AS berada di Syria dengan kebanyakannya dalam misi latih-dan-nasihat untuk menyokong tentera tempatan melawan IS. – Gambar EPA, 20 Disember, 2018.

KUMPULAN Islamic State (IS) “tewas” di Syria, umum Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump hari ini, ketika beliau mengesahkan arahannya menarik balik pasukan tentera AS dari negara berperang itu.

“Kita menang dalam menentang IS,” kata Trump dalam satu video di Twitter.

“Kita tewaskan mereka dengan teruk. Kita sudah ambil semula tanah itu. Dan kini masanya untuk tentera kita pulang ke tanah air.”

Seorang pegawai AS berkata keputusan Trump itu dimuktamadkan pada Selasa.

“Semua tentera diarah pulang, semuanya,” kata pegawai itu.

Pada masa ini, kira-kira 2,000 tentera AS berada di Syria dengan kebanyakannya dalam misi latih-dan-nasihat untuk menyokong tentera tempatan melawan IS.

Kebanyakan tentera AS berada di utara Syria, dengan satu kontinjen kecil berpangkalan di Al-Tanaf, berhampiran Jordan dan sempadan Iraq.

Trump sebelum ini menyuarakan tentang kehadiran AS di Syria, dan pada Mac beliau berkata mahu membawa pulang semua tentera tidak lama lagi. – AFP, 20 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen