PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad memberi amaran kerajaan akan ditolak sekorana gagal menunaikan janji dalam manifesto pilihan rayanya.
Oleh itu, kerajaan perlu berusaha menunaikan janji tersebut bagi mengekalkan kepercayaan rakyat, katanya.
“Adalah amat penting bagi kerajaan untuk mendapat kepercayaan daripada rakyat dan menunaikan janji yang dibuat dalam manifesto pilihan raya.
“Jika rakyat sudah tidak lagi percaya dengan kerajaan, kerajaan yang kuat sekali pun akan tumbang,” katanya.
Menurut Dr Mahathir, kerajaan menyedari banyak janji dalam manifesto Pakatan Harapan sehingga kini masih gagal ditunaikan dan mengambil serius perkara itu.
Jelasnya, manifesto yang dirangka oleh Pakatan Harapan dibuat sebelum mendapat kuasa bagi memberi tekanan kepada Barisan Nasional tanpa menyedari ianya sukar dilaksanakan sekiranya mereka menang dalam PRU14.
“Nasib baik atau mungkin sebaliknya, kami pula yang menang dan kini terpaksa berusaha dua kali ganda untuk melaksanakan janji terbabit.
“Sudah tentu ia kadang-kadang sukar bagi memenuhi janji tetapi sama ada ia sukar atau tidak, kita mesti menunjukkan yang kita sedang berusaha sebaik mungkin bagi mencapainya,” katanya yang juga ahli Parlimen Langkawi.
Beliau menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Mewujudkan kepercayaan dan integriti” dalam majlis makan malam Institut Pengurusan Malaysia (MIM) di Kuala Lumpur malam ini. – 19 Disember, 2018
Komen