Waytha patut letak jawatan? PM kata belum putus


SM Amin

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau OK dengan prestasi kerja Menteri Perpaduan P Waytha Moorthy.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 19 Disember, 2018

DR Mahathir Mohamad masih belum memutuskan sama ada P Waytha Moorthy perlu meletak jawatan sebagai menteri perpaduan seperti dituntut sayap Pemuda Bersatu.

Perdana menteri juga berpuas hati dengan mutu kerja menteri berkenaan, yang meraih kontroversi ekoran kenyataan dibuat berhubung isu rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.

“Rakyat boleh luahkan pendapat tapi ia terpulang kepada saya untuk putuskan. Saya belum putuskan lagi,” kata Dr Mahathir kepada pemberita di Kuala Lumpur malam ini.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan prestasi menteri berkenaan, Dr Mahathir juga menjawab dengan positif.

“Saya OK dengan prestasi kerja beliau,” katanya lagi selepas menyampaikan ucapan dalam satu majlis makan malam anjuran Institut Pengurusan Malaysia.

Pemuda Bersatu menyatakan desakan agar Waytha melepaskan jawatan susulan kematian seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim pada Isnin.

Pemuda berusia 24 tahun itu maut selepas tiga minggu bertarung nyawa akibat cedera parah dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap soal perpaduan, Waytha didakwa gagal meredakan ketegangan kaum sehingga menyebabkan siri rusuhan di kuil tersebut sejak 26 November.

Dalam satu kenyataan awal selepas rusuhan pertama berlaku pada Waytha antara lain menyalahkan pihak polis kerana didakwa gagal menangani rusuhan itu dengan cepat.

Waytha juga dikritik kerana didakwa tidak cuba menenangkan kumpulan penganut Hindu dan masyarakat India yang terlibat dalam rusuhan tersebut.

Selain Umno, kempen mendesak Wayta mendesak jawatan itu turut dilancarkan NGO Gerakan Pengundi Sedar (GPS) yang melancarkan petisyen dalam talian.

Sehingga jam 4 hari ini petisyen itu mengumpul lebih 279,000 tandatangan.

Kerajaan telahpun menjelaskan bahawa rusuhan itu berpunca dari tindakan tidak bertanggungjawab oleh penasihat undang-undang kepada pemilik tanah kuil.

Individu tersebut didapati mengupah kumpulan lelaki Melayu untuk menyerang dan mengambil alih kuil berkenaan pada 26 November – yang mencetuskan rusuhan.

Sementara itu ketika mengulas mengenai kemasukan pemimpin dan ahli Umno ke dalam Bersatu, Dr. Mahathir sekali lagi menegas individu berkenaan tidak akan menguasai partinya.

Katanya ia tidak akan berlaku sehinggalah apabila Bersatu mengadakan pemilihan parti.

“Tidak mungkin ambil alih parti sehingga pemilihan parti akan datang,” katanya. – 19 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen