UMNO Bahagian Langkawi tidak akan terbubar, kata ketua bahagiannya Nawawi Ahmad, mengulas dakwaan kononnya ahli parti itu akan keluar beramai-ramai esok.
Katanya, bekas exco negeri Mohd Rawi Abd Hamid yang mengetuai gerakan itu tidak mempunyai pengaruh dalam kalangan ahli sehingga boleh melumpuhkan parti.
“Ini hanya mainan orang yang kecewa. Kita sedia maklum Rawi akan lompat parti. Sekarang ini dia (Rawi) tidak ada apa, bukan wakil rakyat, bukan AJK Bahagian. Hanya ahli biasa dalam parti.
“Masa pemilihan lawan dengan saya jawatan ketua bahagian, kalah. Saya hantar surat lantik sebagai bendahari, dia tolak,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Berita Harian melaporkan lebih 100 ahli termasuk kepemimpinan kanan Umno Langkawi dijangka umum keluar parti, esok, sekali gus menyaksikan bahagian terbabit mungkin menjadi yang pertama dibubarkan sejak Umno kalah pilihan raya 9 Mei lalu.
Laporan yang memetik sumber itu menyebut tindakan keluar parti beberapa pemimpin kanan bahagian termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri menyebabkan keadaan kecoh pada peringkat Umno Kedah dan pusat kerana Langkawi disifatkan lubuk kekuatan Umno.
Menurut Nawawi, pimpinan Umno Bahagian kekal utuh bersama parti termasuk daripada pergerakan sayap Wanita dan Pemuda Umno.
“Tiada pemimpin yang ikut dia. Ketua Wanita tidak ikut, ketua Pemuda bersama dengan kami, cuma ketua Puteri saya tidak pasti sebab ada di KL.
“Yang dia bawa itu adalah yang kerja dengan dia macam naib ketua Puteri tetapi tidak memberi apa-apa kesan kepada Umno Langkawi. Kami masih dengan 17,000 ahli kami.
“Kalau ikut laporan yang keluar itu macam hendak bubar satu Langkawi. Hanya beberapa ahli biasa yang keluar sahaja,” katanya.
Setakat ini, 17 ahli Parlimen Umno dan lebih 10 Adun di beberapa negeri sudah keluar Umno.
Minggu lalu, Umno Sabah hampir lumpuh apabila majoriti wakil rakyat Umno keluar parti bersama 21 daripada 25 ketua bahagian.
Malam tadi, Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya Mohamad Hasan dan berharap tindakannya akan menyebabkan tiada lagi pemimpin Umno keluar parti.– 19 Disember, 2018
Komen