DUA belas ketua cabang PKR Sabah, termasuk ketua PKR negeri itu Christina Liew, meminta Nurul Izzah Anwar mempertimbangkan keputusannya untuk meletakkan semua jawatan partinya.
Menurut mereka, Nurul Izzah merupakan inspirasi kepada generasi muda dan wanita di negara ini untuk mencapai apa yang mereka mahu.
“Beliau merupakan ahli politik yang disayangi dan dihormati. Lihat sahaja jumlah undi yang beliau peroleh di Permatang Pauh pada pilihan raya.
“Beliau mendapat undian tertinggi di negara ini,” kata ahli Parlimen Putatan yang juga ketua cabang PKR Putatan Awang Husairi Sahari pada sidang meda bagi menjelaskan krisis kepimpinan PKR Sabah.
Dalam pada itu, Liew berkata beliau terkejut dengan keputusan Nurul Izzah, dan berkata ahli Parlimen Permatang Pauh itu menghantar mesej kepadanya dan memintanya “menjaga Sabah dengan baik” kerana beliau akan meninggalkan parti.
Nurul yang merupakan anak sulung kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, turut meletakkan jawatan naib pengerusi parti, pengerusi PKR Pulau Pinang dan jawatan lain dalam kerajaan persekutuan. – 19 Disember, 2018
Komen