Mexico, AS ikrar tingkat pelaburan atasi migrasi


AS memperuntukkan US$ 5.8 bilion untuk pembaharuan institusi dan pembangunan ekonomi di Amerika Tengah terdiri negara Honduras, Guatemala dan El Salvador. – Gambar EPA, 19 Disember, 2018.

MEXICO dan Amerika Syarikat (AS) berikrar meningkatkan dan memacu pelaburan di Mexico Selatan serta Amerika Tengah sebagai cara untuk membendung imigrasi besar-besaran, kata Menteri Luar Marcelo Ebrard pada Selasa.

Menerusi pernyataan bersama, Ebrard berkata AS memperuntukkan US$ 5.8 bilion untuk pembaharuan institusi dan pembangunan ekonomi di Amerika Tengah terdiri negara Honduras, Guatemala dan El Salvador.

Menurut Xinhua, Washington juga komited meningkatkan pelaburan swasta dan awam sebanyak ASD4.8 bilion di Mexico bermula 2019, dengan ASD2 bilion dibelanjakan bagi projek pembangunan di negara selatan yang miskin, kata Ebrard.

Mexico pula akan memperuntukkan ASD25 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang untuk merangsang pekerjaan dan projek awam di wilayah selatan.

“Saya fikir itu adalah berita baik untuk Mexico. Komitmen yang dibuat  bermaksud lebih dua kali ganda pelaburan asing di selatan Mexico,” kata Ebrard.

Migrasi besar-besaran ke AS oleh penduduk Amerika Tengah baru-baru ini menimbulkan masalah rentas sempadan. 

“Mexico dan AS mengetuai usaha itu bersama dengan rakan serantau dan antarabangsa untuk mewujudkan Amerika Tengah yang lebih makmur juga selamat, sekaligus dapat menangani punca utama penghijrahan,” tambahnya.

Pada masa ini, sekurang-kurangnya 2,500 migran haram berada di sempadan AS-Mexico, dengan harapan untuk menyeberang ke AS. 

Kira-kira 6,000 migran tiba di bandar sempadan utara Tijuana, Mexico pada  November, ribuan terpaksa kembali semula ke negara asal akibat dasar ketat Washington terhadap penghijrah yang cuba memasuki negara itu secara haram. – Bernama, 19 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen