NEGARA Kesatuan Eropah (EU) dan Parlimen Eropah pada Rabu setuju untuk mengharamkan plastik sekali guna, termasuk pinggan, peralatan makan dan penyedut minuman, dalam usaha untuk mengekang pencemaran laut.
Peraturan baharu itu yang masih memerlukan kelulusan sebelum ia menjadi undang-undang, menyasarkan 10 barangan yang kerap ditemui dibuang di pantai negara Eropah.
Batang putik kapas plastik dan bekas makanan polistirena juga turut diharamkan, berikutan EU cuba untuk mengurangkan produk yang menyebabkan timbunan sampah di lautan seluruh dunia.
Pihak berkuasa dari parlimen dan Majlis EU, yag mewakili blok negara ahli, mengadakan rundingan sebelum mencapai kata putus dalam perjanjian yang dibuat pada pagi Rabu selepas lebih 12 jam berunding.
“Ada kemungkinan, langkah itu akan dibuat menerusi arahan dan pelaksanaannya perlu diberi keutamaan bagi menghalang bahan buangan dan menjadikan bahan kitar semula sebagai keutamaan dalam penghasilan produk bagi menggantikan produk sekali guna,” kata majlis itu dalam satu kenyataan.
Dalam langkah untuk mengurangkan krisis kebanjiran bahan buangan plastik di lautan, undang-undang itu dipercepat berbanding prosedur biasa.
Negara EU berharap untuk menyelesaikan langkah terakhir sebelum peraturan itu dikuatkuasakan pada 2021. – AFP, 19 Disember, 2018
Komen