MINGGU yang hot! Termasuk kejutan terkini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memilih angkat kaki.
Zahid mengalah sebab ugutan lebih ramai ahli Parlimen Umno akan keluar parti sekiranya Zahid tidak melepaskan jawatan atau mengundurkan diri.
Tapi percayalah. Zahid bukan de facto dalam krisis ahli Parlimen Umno jual beli kerusi atau melompat parti. Ini penyakit ahli politik secara peribadi.
Banyak perkara mengenai isu jual beli kerusi Parlimen diperkatakan. Rakyat mengutuknya secara serius dan sinikal.
Sebenarnya, jenaka dan polemik ini bermula seawal 9.00 malam pada 9 Mei lalu. Kita tahu, kelewatan pengumuman keputusan penuh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berkait rapat dengan negosiasi jual beli kerusi.
Ini berlaku apabila Barisan Nasional (BN) sedar parti itu tumbang.
Jual beli tidak semestinya difahami sebagai rasuah kewangan. Namun, ia berkait dengan urus niaga yang memberikan manfaat kuasa dan kedudukan.
Kita rakyat biasa yang melihat senario politik secara ala kadar pun, faham realiti ini. Bukan rahsia pun – kita menilai ahli politik sebagai penggila wang dan kuasa.
Dalam era ini, keikhlasan ahli politik adalah perkara terakhir berada dalam penilaian rakyat. Jangan marah rakyat, ahli politik yang mencorakkannya.
Malah, pandangan skeptik ini sudah menjadi rahsia terbuka. Rakyat, sampai satu tahap, mempunyai bidalan sarkastik terhadap orang politik: “Sapulah duit asal kau licik. Tapi jangan sampai rakyat papa!”
Duka rakyat sampai ke tahap itu apabila menilai sikap ahli politik kita. Begitu dalam rasa kecewa rakyat terhadap permainan politik hari ini.
Rakyat sudah lama berhenti menangis kerana terlalu letih menanggung kesedihan akibat politiking melampau di negara ini.
Namun, sebagai warga marhaen, rakyat tidak pernah berhenti berharap. Malah, berdoa – supaya suatu hari, keadaan politik negara berubah dan menjadi bertambah baik.
Ketika rasuah dan ketirisan kuasa menggila di negara kita, ramai ahli politik dianggap penyamun. Namun, dalam banyak keadaan - rakyat berdoa: “Rompaklah emas dan berlian, tetapi jangan samun beras dan tepung milik rakyat jelata!”
Kita melalui tahun-tahun yang teruk sejak sekian lama. Hingga budaya penyamunan harta milik rakyat, kita terima seadanya. Begitulah teruknya, apabila sekian lama jenayah rasuah dibiarkan berleluasa dan rakyat terbius tanpa mampu berasakan apa-apa.
Cuma sekarang era Malaysia Baru.
Cukup-cukuplah hal penyamunan ini. Sekarang, kita memasuki era Malaysia Baru. Rakyat berharap penyamun dan penyangak tidak lagi dibiarkan bermaharajalela.
Keadaan dan kepercayaan rakyat yang baru saja bertunas perlu dijaga.
Keadaan politik perlu dikawal. Kalau sekali lagi sejarah berulang - bangsa ini akan menempuh hidup sampai kiamat dengan menganggap rasuah umpama Perlembagaan tidak bertulis milik parti yang berkuasa.
Apabila gelombang lompat parti berlaku pada 12 Disember di Sabah dan 14 Disember di Malaya, jantung kita berdegup lagi. Kita ada trauma lama. Apalagi lompat parti 11 ahli Parlimen ini membabitkan wakil rakyat Umno.
Sejak sekian lama BN berkuasa, kita mendengar segala macam skandal rasuah dan penyonglapan wang negara.
Apabila kes 1Malaysia Development Berhad dibongkar, kes salah laku Felda dipugar, penyelewengan jual beli tanah DBKL diwarwar, isu Kementah disebar, dan terkini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masuk ke Tabung Haji menyelongkar – ia berkait dengan salah laku orang politik yang pernah berkuasa.
Secara jelas, semua suspek yang terlibat ialah orang Umno.
Ini realiti. Tiga bulan terakhir ini, ramai pemimpin kanan Umno jadi superstar di mahkamah. Naik turun mengadap hakim untuk didakwa. Dari kes rasuah berjuta ringgit sampai ke pendakwaan berbilion ringgit.
Kalau kita merujuk pada senarai siasatan SPRM dan polis, kita tidak mampu menghafal begitu banyak nama pemimpin Umno yang telah didakwa dan sedang disiasat.
Malah, kita pun tahu, berkoyan lagi nama dalam senarai kes yang sedang disiasat dan bakal dituduh di mahkamah.
Begitu teruknya imej Umno sekarang.
Justeru, apabila 11 ahli Parlimen Umno dari Sabah dan Malaya mengumumkan tindakan keluar parti, kita berasa trauma. Apa yang terlintas di kepala tentunya persoalan: “Apakah mereka menjual kerusi?”
Apakah sekarang negara ini sedang melalui fasa jualan murah kerusi Parlimen?
Kenapa tiba-tiba menderu dan menderam ahli Parlimen melompat parti? Ingat! Jual kerusi bukan semestinya dibeli dengan wang. Apa saja manfaat yang diperolehi dalam urus niaga ini, akan dinilai sebagai jual beli. Manfaat kuasa juga satu urus niaga yang tidak wajar berlaku.
Ada jenaka yang tersebar luas. Rakyat melihat kaitan kes-kes rasuah membabitkan reputasi pemimpin Umno kebelakangan ini, sebagai kaitan utama fenomena melompat parti.
Sama ada ada kaitan langsung dengan rasuah, atau yang melompat berasa malu menjadi orang Umno, itu antara soalan yang meligat dalam kepala.
Atau lompat parti sebab takutkan Anwar Ibrahim?
Rakyat juga melihat, wujud kebimbangan kepada musuh-musuh bakal perdana menteri, sebagai antara punca ahli politik yang gelabah kini memilih melompat parti lebih awal.
Selebihnya, rakyat mula menyampah: “Ini bukan lompat parti. Ini sindrom jual beli kerusi. Atau, sedang melarikan untuk elak kena gari.”
Ini senario tambahan kerana perdana menteri sekarang Dr Mahathir Mohamad akan diganti Presiden PKR, Anwar dalam tempoh 18 bulan lagi. Jadi, banyak spekulasi negatif diperbualkan: “Masuk Pakatan Harapan sekarang untuk cari perlindungan. Semua kena sediakan payung sebelum hujan.”
Persepsi awam sangat penting untuk diberi perhatian. Pandangan pesimis rakyat akan hanya melemahkan rasa hormat pada kerajaan sekarang.
Kerajaan mesti sentiasa mengutamakan kepercayaan rakyat, bahawa negara sedang berada di landasan yang betul untuk move on selepas PRU14.
Kita sudah melahirkan reformasi undi pada 9 Mei lalu untuk membina Malaysia Baru.
Kalau balik semula ke era negara penyamun, sia-sia sahajalah semua usaha itu. – 19 Disember, 2018.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen