Dedah nama suspek kes bunuh, New Zealand beri amaran kepada Google


Menteri Kehakiman Andrew Little berkata pelanggaran itu tidak dapat diterima dan menggesa Google bertanggungjawab. – Gambar EPA, 19 Disember, 2018.

NEW Zealand memberi amaran kepada Google agar “bertanggungjawab” terhadap kandungan beritanya pada Rabu, selepas ia melanggar perintah mahkamah yang menyekat nama seorang lelaki didakwa membunuh pelancong Britain.

Mahkamah Auckland memberi sekatan sementara nama lelaki itu pada bulan ini tetapi Google mendedahkan identitinya dalam e-mel kepada pelanggan melalui perkhidmatan “perkembangan terkini di New Zealand”.

Menteri Kehakiman Andrew Little berkata pelanggaran itu tidak dapat diterima dan beliau memastikan pandangannya diketahui oleh eksekutif Google pada mesyuarat di Parlimen pada malam Selasa.

Walaupun Google berkata dakwaan pelanggaran itu tidak disengajakan dan ia tidak menyedari perintah mahkamah apabila e-mel yang dihantar secara automatik, Little berkata alasan itu tidak cukup baik.

“Jika mereka memilih untuk mewujudkan algoritma mereka dan mengedarkan berita, mereka perlu mengambil tanggungjawab.”

Kes itu membabitkan pembunuhan pelancong British, Grace Millane, 22, yang mayatnya ditemui awal bulan ini di luar Auckland, menyebabkan seorang lelaki berusia 26 tahun ditangkap dan dituduh.

Kes ini menjadi perhatian di New Zealand dan Britain, di mana beberapa saluran media juga menamakan tertuduh, dengan alasan perintah mahkamah tidak terpakai kepada mereka.

Little berkata beliau bertemu dua eksekutif Google tempatan, dan seorang peguam kanan dari ibu pejabat syarikat California menyertai mereka melalui video.

Beliau berkata mereka kelihatan benar-benar prihatin terhadap pelanggaran itu dan memberi jaminan sedang berusaha untuk memastikan ia tidak berlaku lagi, dengan pertemuan lain dijadualkan pada awal 2019 untuk menilai progres mereka.

Little mengakui mengawal maklumat di Internet dan media sosial adalah mencabar tetapi mengatakan ada sebab mengapa perintah mahkamah dibuat dan ia perlu dihormati.

“Kami tidak boleh membiarkannya dan berkata ini terlalu sukar,” katanya.

Beliau berkata kes itu menonjolkan kemungkinan perlunya perjanjian antarabangsa jika Google “tidak melakukan apa-apa (atau) tidak dapat berbuat apa-apa” untuk menyelesaikan masalah itu.

“Mereka boleh jangka kita akan berbincang dengan rakan negara lain di seluruh dunia yang mempunyai minat yang sama ... mengenai mencapai persetujuan menguatkuasakan perintah di negara masing-masing,” katanya.

“Ia kemungkin yang tidak dapat dielakkan kerana ia bukan hanya Google, ada juga yang lain dan kami harus melindungi integriti sistem mahkamah kami.” – AFP, 19 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen