INDIA sedang menimbang cadangan Turki untuk menjalankan dagangan dua hala dalam mata wang tempatan, selain berjanji untuk menangani isu-isu perbankan yang menghalang hubungan ekonomi yang lebih baik antara kedua-dua negara.
Menteri Perdagangan Turki Ruhsar Pekcan mengadakan perbincangan dengan Menteri Perdagangan India Suresh Prabhu di New Delhi pada Selasa untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan.
Prabhu memberitahu Pekcan bahawa “cadangan yang diterima dari Turki untuk berurus niaga dalam mata wang tempatan sedang dipertimbang” oleh Kementerian Kewangan India, menurut kenyataan Kementerian Perdagangan.
Turki berminat untuk mengurangkan pergantungannya terhadap dolar AS, dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mengumumkan bahawa Ankara bekerjasama dengan 12 negara untuk menggunakan mata wang tempatan dalam perdagangan antarabangsa.
Turki membangkitkan kebimbangannya mengenai ketidakseimbangan perdagangan dengan India dan telah mencari prosedur yang lebih mudah untuk mengeksport produk pertaniannya.
Dalam tahun kewangan 2017, India mengeksport barang bernilai AS$5 bilion ke Turki dan mengimport produk Turki bernilai AS$2.2 bilion.
India mahu menjalin perjanjian perdagangan bebas dengan Turki seawal mungkin, kata Prabhu kepada menteri Turki.
Menteri India itu juga menjemput syarikat pembinaan Turki untuk mengambil bahagian dalam projek lapangan terbang, yang memerlukan pelaburan bernilai AS$65 bilion, dalam dekad akan datang. – Bernama, 19 Disember, 2018.
Komen