AHLI politik dan wartawan wanita di Britain dan Amerika Syarikat (AS) lebih cenderung menjadi sasaran gangguan dalam talian, menurut kajian yang dibuat mendapati mereka menerima “mesej bermasalah” setiap 30 saat secara purata.
Penilaian yang dibuat oleh Amnesty International dan Element AI - mendapati wanita berkulit hitam sebanyak 84% lebih berkemungkinan menerima mesej kesat di Twitter berbanding rakan mereka berkulit putih pada 2017.
Firma itu melibatkan lebih 6,500 sukarelawan dari 150 negara untuk mengambil bahagian dalam projek “Troll Patrol” untuk menanda dan memproses data berskala besar mengenai penyalahgunaan dalam talian.
“Troll Patrol bermaksud kita mempunyai data untuk menyokong apa yang dikatakan oleh wanita sejak sekian lama - bahawa Twitter adalah tempat di mana perkauman, misogini dan homophobia secara asasnya dibenarkan berkembang tanpa diperiksa,” kata Milena Marin daripada Amnesty International.
“Kami mendapati walaupun gangguan disasarkan kepada wanita melangkaui spektrum politik, wanita bukan berkulit putih lebih cenderung merasai impaknya, dan wanita berkulit hitam lebih cenderung menjadi sasaran.”
Para sukarelawan menganalisis 288,000 tweet menyebutkan 778 ahli politik dari seluruh spektrum politik Britain dan AS, serta para wartawan daripada The New York Times, The Guardian, The Daily Mail dan Breitbart.
Ia mendedahkan satu dalam 10 mesej menyebut wanita hitam “bermasalah”, manakala wanita berbangsa lain - berkulit hitam, Asia, Latin dan berketurunan campuran - adalah 34% lebih cenderung menerima mesej gangguan berbanding wanita kulit putih.
Amnesty International yang berpusat di London berkata gangguan dalam talian terhadap wanita melangkaui spektrum politik.
“Para ahli politik dan wartawan menghadapi tahap gangguan dalam talian yang sama dan kami memantau pihak liberal dan konservatif, serta organisasi media kiri dan kanan yang turut terlibat,” katanya.
NGO itu menambah ia berulang kali meminta Twitter untuk menerbitkan data mengenai skala dan sifat gangguan pada platform mereka, tetapi sehingga kini ia gagal berbuat demikian.
“Ini menyembunyikan tahap masalah dan menjadikannya sukar untuk mewujudkan solusia yang berkesan,” katanya.
Vijaya Gadde daripada Twitter berkata: “Twitter secara terbuka komitmen untuk meningkatkan kesihatan kolektif, keterbukaan, dan ketertiban perbualan awam dalam perkhidmatan kami.”
“Polisi tingkah laku gangguan kami melarang dengan tegas tingkah laku yang mengganggu, menakut-nakutkan atau mendiamkan suara pengguna lain,” katanya sambil menambah yang Twitter melabur dalam teknologi dan alatan untuk mengenal pasti bahan yang disifatkan sebagai gangguan. – AFP, 19 Disember, 2018.
Komen