Pemburu haram dihukum penjara dan tengok ‘Bambi’


Filem Bambi keluaran Walt Disney pada 1942 adalah salah satu filem ikonik tentang anak rusa yang kematian ibunya kerana dibunuh pemburu. – Gambar YouTube, 19 Disember, 2018.

SEORANG hakim di Missouri, AS menjatuhkan hukuman tayangan berulang kali filem keluaran Walt Disney “Bambi” kepada seorang pemburu haram prolifik. 

David Berry Jr akan dipaksa menonton filem kartun itu sekurang-kurangnya sekali sebulan sepanjang tempoh dipenjarakan selepas didapati bersalah dalam siasatan disifatkan pihak berkuasa salah satu kes buru haram terbesar pernah dilakukan mereka.

Berry dan dua ahli keluarganya ditahan atas tuduhan membunuh ratusan rusa sejak tiga tahun lepas, menurut Jabatan Pemeliharaan Missouri yang mengumumkan hukuman tersebut pada satu kenyataan 13 Disember lalu.

“Jika Bambi boleh insafkan dia, saya tak ada masalah,” kata Pendakwa Raya Daerah Lawrence Don Trotter kepada BuzzFeed News.

“Rusa tersebut adalah trofi yang diambil secara haram, kebanyakannya pada waktu malam, kerana kepalanya dan meninggalkan badannya jadi bangkai,” kata Trotter.

Pada tiga bulan terakhir 2015 sahaja, keluarga Berry membunuh 100 ekor rusa menurut gambar dalam telefon bimbit mereka, kata Trotter.

Berry juga menyaksikan lesen berburunya ditarik balik dan diletakkan dalam tempoh pemerhatian. Beliau dan dua lagi lelaki sudah membayar denda dan kos mahkamah mencecah AS$51,000.

Filem Bambi yang dikeluarkan The Walt Disney pada Ogos 1942 memukau generasi bertahun-tahun tentang kisah seekor anak rusa dan emaknya.

Adegan Bambi menangisi kematian anaknya jadi ikonik dalam sejarah filem dan membuka ruang wacana kematian kepada kanak-kanak.

Bambi seringkali dimasukkan dalam senarai filem paling sedih dalam sejarah wayang dunia, malah majalah Time meletakkannya dalam senarai filem “seram” setanding dengan Frankenstein, The Exorcist dan Night of the Living Dead.

Hakim Robert George menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas Berry dan mengarahkan tayangan filem itu dilakukan sherif penjara Lawrence County.

Peguam Berry meminta hukuman dikurangkan kerana anak guamnya baru sahaja mendapat anak, tetapi hakim menolaknya.

“Awak tengok Bambi dan fikirkan tentang anak awak sendiri nanti,” kata Trotter.

Empat belas orang sudah ditahan dan dijatuhi hukuman dalam siasatan pemburuan haram melibatkan Missouri, Kansas, Nebraska dan Kanada itu. – AFP, 19 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen