IMF lulus bantuan Ukraine, beri AS$1.4 bilion serta merta


IMF bersetuju untuk jumlah pinjaman 14 bulan sebanyak AS$4 bilion pada pertengahan Oktober lalu, bagi membantu pemulihan ekonomi negara kancah perang itu. – Gambar EPA, 19 Disember, 2018.

LEMBAGA Eksekutif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) semalam memberikan kelulusan terakhir untuk pakej pinjaman terbaru kepada Ukraine dan mengeluarkan AS$1.4 bilion pinjaman serta merta.

IMF bersetuju untuk jumlah pinjaman 14 bulan sebanyak AS$4 bilion pada pertengahan Oktober lalu tetapi lembaga menunggu kerajaan melaksanakan pelbagai dasar ekonomi sebelum meluluskan pemberian pinjaman kepada negara pecah perang itu termasuklah menaikkan kadar gas dan pemanasan.

Satu lagi langkah utama adalah kelulusan Bajet 2019 bulan lepas dengan defisit 2.3% KDNK.

“Pihak berkuasa Ukraine berjaya mengembalikan kestabilan dan perkembangan ekonomi makro, dengan sokongan masyarakat antarabangsa,” kata orang nombor dua IMF David Lipton dalam satu kenyataan.

“Pihak berkuasa sudah mengambil langkah penting untuk menangani risiko kepada program,” katanya, tetapi menekankan yang “pelaksanaan program sepenuhnya dan mengikut masa akan jadi unsur kritikal dalam kejayaannya berdepan cabaran sukar.”

Kenaikan gas adalah isu sensitif kepada negara yang bermasalah aliran tunai ketika kepimpinan pro Baratnya sedang berdepan cabaran pilihan raya presiden dan Parlimen dijadualkan berlaku 2019.

IMF juga menekankan keperluan untuk terus melindungi isi rumah berpendapatan rendah.

Dan Lipton berkata progress dalam reformasi anti korupsi serta penswastaan “akan membantu menarik pelaburan dan meningkatkan perluasan persekitaran perniagaan.”

IMF menjangkakan pertumbuhan ekonomi Ukraine perlahan kepada 2.7% tahun depan berbanding jangkaan 3.3% tahun ini, dengan inflasi turun bawah 11% pada 2019 berbanding hampir 12% tahun ini.

Pada 2014, Moscow merampas Crimean daripada Ukraine. Tindakan itu disusuli dengan konflik bersenjata di timur Ukraine antara tentera kerajaan serta pemisah disokong Rusia.

Ukraine dan sekutu baratnya menuduh Rusia menyalurkan bantuan melintasi sempadan tetapi Moscow bertegas menafikan tuduhan itu walaupun terdapat bukti jelas. – AFP, 19 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen