POLIS masih belum berjaya mengenalpasti individu yang membunuh anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim walau dengan penahanan empat suspek, kata sumber.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, empat individu itu ditangkap berdasarkan laporan risikan dan mereka dilihat berada di tempat pembunuhan itu.
“Mereka dibebaskan dengan jaminan apabila tempoh reman tamat. Setakat ini, belum ada sesiapa yang didakwa,” kata sumber.
Empat individu berkenaan ditahan pada 6 Disember dan disiasat atas kesalahan cubaan membunuh.
Kes berkenaan bagaimanapun menjadi kes bunuh apabila Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) sewaktu dirawat akibat kecederaan yang dialami susulan serangan pada Isnin malam itu.
Timbalan Ketua Polis Selangor Abdul Rashid Wahab berkata siasatan masih dijalankan dan enggan mengulas lanjut.
Satu lagi sumber polis memberitahu The Malaysian Insight, empat individu yang dibebaskan dengan jaminan itu masih dalam siasatan.
“Kami masih menyiasat empat susupek itu. Terdapat ribuan orang pada malam itu dan kami berusaha sedaya upaya untuk mencari orang bertanggungjawab,” kata sumber.

Adib dan rakan sepasukannya pergi ke kuil Sri Mahamariamman di Subang Jaya itu selepas menerima panggilan kecemasan.
Pada waktu itu, perusuh sudahpun membakar beberapa kenderaan. Namun apabila pasukan itu tiba di lokasi, perusuh bertindak menyerang pasukan bomba yang kemudiannya berundur.
Polis percaya Adib ditarik keluar daripada kenderaan bomba dan diserang.
Jawatankuasa kuasa pula mendakwa Adib dilanggar oleh kenderaan bomba yang sedang berundur.
Rusuhan itu adalah rentetan dari kejadian yang berlaku pada hari sebelumnya apabila sekumpula lelaki bertopeng bersenjatakan parang dan potongan besi menyerang dan menghalau penganut di dalam kuil.
Laporan menunjukkan pasukan itu tiba untuk menghalau individu dalam kuil berkenaan yang dirancang untuk dirobohkan bagi satu projek pembangunan.
Ia merupakan kemuncak kepada pertelagahan di antara pentadbir kuil dan pemilik tanah tersebut berhubung pemindahan rumah ibadat berkenaan.
Pemaju berkenaan pada waktu itu sudahpun mendapat kebenaran mahkamah untuk memindahkan kuil tersebut ke Putra Heights yang terletak kira-kira 3km dari lokasi itu.
Pihak berkuasa kuil bagaimanapun memfailkan injunksi untuk menghalang pemindahan kuil berkenaan.
Pemilik tanah berkenaan bertindak balas dengan mengupah kumpulan individu untuk menyerang dan menghalau penganut dalam kuil tersebut, yang membawa kepada rusuhan selama dua hari.
Pejabat Peguam Negara kini sedang menjalankan rundingan di antara One City Development Sdn Bhd dan jawatankuasa kuil untuk mencari jalan penyelesaian. – 19 Disember, 2018.
Komen