Bekas Umno diperhati, dihalang daripada jawatan parti, kata Dr Mahathir


Chan Kok Leong

BERSATU hanya akan menerima wakil rakyat pembangkang yag berjaya melepasi proses ketat saringan dan memberikan taat setia tidak akan bertanding untuk mana-mana jawatan dalam parti atau kerajaan, kata Perdana Menteri dalam usaha meredakan kebimbangan bekas Umno akan mengambil alih partinya.

Dr Mahathir yang merupakan pengerusi Bersatu dan Pakatan Harapan berkata, mana-mana pendatang baharu mula-mulanya perlu menjadi wakil rakyat bebas untuk tempoh tertentu selepas meninggalkan Umno, dan mereka perlu menunjukkan sokongan kepada Pakatan Harapan.

“Mereka sudah memberikan janji yang mereka tidak akan cuba mendapatkan jawatan dalam parti. Mereka tidak akan memegang apa sahaja jawatan atau menjadi calon pilihan raya akan datang. Itu adalah syaratnya,” kata negarawan berusia 93 tahun itu dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight.

“Permohonan mereka hanya akan dipertimbangkan selepas kita memerhati perangai mereka. Mereka boleh sertai Bersatu tetapi mereka tidak boleh pegang mana-mana jawatan.

“Dan sekiranya mereka bertanding, ia tidak akan pada kedudukan sekarang. Mereka akan masuk sebagai ahli (biasa).”

Dr Mahathir mengakui rakan pemimpin parti lain dalam Pakatan Harapan sudah meluahkan kebimbangan mengenai kemungkinan beberapa bekas ahli Parlimen Umno menyertai Bersatu, tetapi beliau sudah memberikan jaminan yang beliau juga “bimbang”.

Katanya, menerima beberapa orang bekas Umno akan membantu menaikkan sokongan orang Melayu kepada PH.

“Seperti yang anda tahu, pilihan raya lepas ramai orang Melayu sokong Umno. Jadi, Umno masih popular dalam kalangan orang Melayu.

“Orang Melayu itu perlu dibawa masuk kerana jika mereka sokong Bersatu, kita akan jadi lebih kuat dan Pakatan (juga) akan jadi lebih kuat.”

Walaupun Pakatan berjaya merampas Putrajaya dengan undi popular mencecah 48%, ia hanya berjaya meraih 25% undi Melayu berbanding Umno (45%) dan PAS (25%). – 19 Disember, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen