PIHAK berkuasa Rusia dibenarkan mendenda aktivis yang menganjur bantahan jika ia disertai oleh golongan muda, selepas rang undang-undang diluluskan di Parlimen hari ini.
Di Twitter, Ketua Pembangkang Alexei Navalny, yang bantahan anti rasuahnya telah menarik orang muda berkata undang-undang itu dicadangkan khusus untuknya.
Menurut laman web Parlimen, sesiapa sahaja yang membenarkan golongan bawah 18 tahun menyertai bantahan tanpa izin akan didenda sebanyak 50,000 ruble (RM3,113) atau hukuman penjara 15 hari.
Di bawah undang-undang yang sudah pasti akan diluluskan oleh Presiden Vladimir Putin itu, mereka yang mengulangi kesalahan akan didenda sehingga 300,000 ruble atau dipenjara selama sebulan.
Bantahan anti Kremlin yang dianjurkan Navalny beberapa tahun kebelakangan ini disertai oleh ribuan orang termasuk kanak-kanak.
Tahun lalu, pihak berkuasa mendakwa ramai anak muda dijanjikan wang untuk menyertai bantahan.
Navalny, peguam lulusan Yale berusia 42 tahun, sebelum ini beberapa kali dipenjarakan kerana mengadakan bantahan tanpa izin. – AFP, 18 Disember, 2018.
Komen