Masuk GBS bukan keutamaan Umno Sabah sekarang, kata Bung Moktar


Jason Santos

Pada masa ini Umno Sabah perlu kuat terlebih dulu, kata Pengerusi Perhubungan negeri, Bung Moktar Radin. – Gambar Twitter, 18 Disember, 2018

BERGABUNG dengan Gabungan Bersatu Sabah (GBS) bukanlah keutamaan bagi Umno Sabah buat masa ini, kata Pengerusi Perhubungan yang baru dilantik, Bung Moktar Radin, selepas wakil rakyatnya keluar beramai-ramai minggu lepas.

“Pertama sekali, saya perlu berjumpa dengan semua pemimpin tertinggi Umno dan berbincang bagaimana mahu atur semula parti.

“Saya akan adakan pertemuan dengan semua akar umbi Umno Sabah dan maklumkan kepada mereka mengenai keadaan semasa parti.

“Selepas itu, kami akan pertimbangkan berbincang dengan GBS atau tidak. Pada masa ini Umno Sabah perlu kuat terlebih dulu,” kata Bung kepada The Malaysian Insight.

Beliau adalah ahli Parlimen Kinabatangan dan satu-satunya ahli Parlimen dari Umno di Sabah.

Umno Sabah kini bukan lagi sebahagian daripada GBS selepas pemimpin perhubungan negeri serta wakil rakyat yang mengumumkan keluar parti beramai-ramai pada 12 Disember. 

GBS yang menggantikan Barisan Nasional (BN) di Sabah selepas parti pemerintah itu kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), terdiri daripada Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah dan beberapa wakil rakyat bebas termasuk Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman yang keluar Umno pada September.

Bung dilantik sebagai pengerusi perhubungan Umno Sabah selepas bekas pengerusinya, Hajiji Mohd Noor keluar parti bersama yang lain pada 12 Disember. – 18 Disember, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen