SEORANG bayi berusia tiga bulan antara lapan yang terkorban dalam insiden kebakaran di hospital Mumbai, kata pihak berkuasa, dalam kejadian terbaru yang menunjukkan betapa rendahnya standard keselamatan di negara itu.
Kebakaran berlaku sekitar jam 4 petang waktu tempatan pada Isnin di tingkat empat hospital kerajaan di utara Andheri.
Jumlah kematian meningkat daripada enam kepada lapan hari ini, kata jurucakap jabatan pengurusan bencana.
Sementara 140 yang lain termasuk pesakit, doktor dan jururawat berjaya diselamatkan dan dirawat di beberapa hospital sekitar bandar itu, katanya.
Punca kebakaran di hospital ESIC Kamgar itu belum diketahui tetapi jurucakap bomba berkata hospital itu tidak melakukan pemeriksaan keselamatan yang sempurna.
“Ia bangunan zaman 1970-an dan tiada audit keselamatan kebakaran dijalankan,” kata timbalan ketua jabatan kerajaan berkenaan M.D. Ogle.
Kebakaran seperti itu sering berlaku di seluruh India kerana standard keselamatan yang rendah dan kurangnya penguatkuasaan undang-undang. Ia biasanya berlaku di kawasan padat penduduk seperti Mumbai yang menjadi ibu kota kewangan India.
Pada Disember tahun lalu sekurang-kurangnya 14 terbunuh dalam kebakaran besar di restoran popular di bandar itu.
Awal bulan itu, kebakaran berlaku di kedai gula-gula di Mumbai, menyebabkan sebuah bangunan runtuh dan menyebabkan 12 pekerja yang sedar tidur, maut. – AFP, 18 Disember, 2018.
Komen