Jangan bertindak sendiri, KPN beri amaran


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun menasihati orang ramai supaya tidak bertindak sendiri dengan cara yang boleh menyebabkan kekacauan terutama ketegangan kaum dan agama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2018.

KETUA Polis Negara Mohamad Fuzi Harun mengulangi gesaan kepada seluruh rakyat Malaysia agar bertenang dan memberi amaran terhadap sebarang tindakan ganas susulan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim malam tadi.

“Polis ingin memberi nasihat kepada orang ramai supaya tidak bertindak sendiri dengan cara yang boleh menyebabkan kekacauan terutama ketegangan kaum dan agama,” kata Fuzi dalam satu kenyataan.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) sedih dengan berita mengenai Allahyarham Adib dan ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan seluruh pasukan dalam jabatan penyelamat.

“Pemergian Adib adalah kehilangan besar bukan hanya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat tetapi kepada negara.”

Fuzi kemudian mengesahkan kes itu diklasifikasikan sebagai pembunuhan.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Abdul Rashid Wahab berkata mereka mengarahkan hampir 400 anggota polis di kawasan kuil dan pejabat pemaju di Kompleks Perniagaan One City berdekatan untuk memastikan keselamatan.

“Kami memberi keutamaan nombor satu kepada kuil itu, menjaga kawasan tersebut kerana kami memantau keadaan dengan teliti,” kata Rashid kepada The Malaysian Insight.

“Kami juga menambah jumlah anggota polis dan bersedia untuk memastikan keamanan.”

Pengarah Keselamatan Awam dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Acryl Sani Abdullah Sani memberitahu The Malaysian Insight, pihaknya bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Dalam keadaan yang menguji ini, marilah kita semua terus bertenang dan berhenti menyakiti perasaan masing-masing. Bersikap mengikut emosi mengenai isu ini tidak akan membantu memperbaiki keadaan.

“Justeru, Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Pesanan Awam siap siaga dan bersedia untuk sebarang keadaan.

“Kami mahu memastikan ketenteraman awam demi kebaikan negara kita.”

Komen Acyrl datang susulan pengguna media sosial berkata jawatankuasa kuil Sri Maha Mariamman di Seafield bertanggungjawab terhadap kematian Adib. – 18 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen