SALAH sebuah kumpulan hak asasi manusia terbesar Korea Selatan akan menarik balik anugerah diberikan kepada Aung San Suu Kyi pada 2004 kerana “ketidakpeduliannya” terhadap kekejaman dilakukan ke atas minoriti Rohingya, kata kumpulan itu hari ini.
Suu Kyi tidak berupaya menerima anugerah hak asasi Gwangju ketika itu kerana ditahan dalam rumah oleh pemerintah junta.
Sejak itu, partinya berkuasa di Myanmar dan pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu diberikan gelaran Kaunselor Negara, tetapi pejuang tegar hak asasi dan demokrasi itu kini dituduh bersubahat dan tidak mempedulikan nasib Rohingya yang tertindas.
PBB memberi amaran yang kumpulan minoriti Islam it uterus jadi sasaran “genosid berterusan”.
“Ketidakpeduliannya terhadap kekejaman dialami Rohingya bercanggah dengan nilai anugerah- melindungi dan mempromosi hak asasi,” kata jurucakap Cho Jin-tae daripada May 18 Memorial Foundation kepada AFP.
Kerana itu, lembaga pengarah yayasan semalam memutuskan untuk menarik balik anugerah terhadapnya.
Yayasan itu ditubuhkan pada 1994 bagi mengenang kebangkitan demokrasi di Gwangju pada 1980 yang menyebabkan pertempuran berdarah antara tentera dan orang awam sehingga menyebabkan lebih 200 terbunuh atau cedera.
Kebangkitan menentang pemerintahan diktator Chun Doo-Hwan itu kemudiannya memberi inspirasi kepada bantahan pro demokrasi seluruh negara sehingga rejim tentera berjaya ditumbangkang tujuh tahun kemudian.
Bulan lepas, Amnesty International menarik balik anugerah berprestij diberikan kepada Suu Kyi kerana sikap tidak pedulinya kepada kekejaman tentera ke atas etnik Rohingya. – AFP, 18 Disember, 2018.
Komen