Rakyat Malaysia diminta supaya bertenang


Alfian Z.M. Tahir

Kelihatan anggota polis berkawal di luar kawasan kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya hari ini. Pihak polis bersiap siaga terhadap sebarang kemungkinan susulan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Disember, 2018.

POLIS menggesa orang ramai bertenang dan menahan diri daripada membuat komen yang tidak perlu di media sosial berikutan kematian pegawai bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengarah Keselamatan Awam dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Acryl Sani Abdullah Sani memberitahu The Malaysian Insight, walaupun menggesa semua pihak bertenang, pihaknya sudah mengarahkan anggota bersiap sedia untuk berdepan sebarang kemungkinan.

“Dalam keadaan yang menguji ini, biarlah kita semua bertenang dan berhenti menyakiti perasaan masing-masing. Bersikap emosi terhadap isu ini tidak akan membantu memperbaiki keadaan,” kata Acryl kepada The Malaysian Insight.

“Bagaimanapun, bahagian keselamatan dalaman dan ketenteraman awam siap siaga dan bersedia untuk sebarang keadaan.

“Kami mahu ketenteraman awam dipulihkan demi kebaikan negara kita.”

Komen Acyrl itu dibuat susulan pengguna media sosial menuduh jawatankuasa kuil Sri Maha Mariamman bertanggungjawab atas kematian Adib.

Berikutan serangan pada 26 November, pihak kuil itu menyeru semua penganut Hindu mempertahankan dan melindungi tempat ibadat mereka.

Adib didakwa dipaksa keluar dari sebuah jentera bomba dan diserang oleh seorang perusuh apabila anggota bomba sampai di kuil.

Pihak berkuasa kuil, bagaimanapun, mendakwa Adib dilanggar jentera yang mengundur selepas orang ramai mula membaling batu.

Awal bulan ini, polis mengumumkan mereka menahan empat suspek berkaitan dengan serangan terhadap Adib.

Keempat-empat mereka ditahan dan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin. Polis kini  mengklasifikasikan kes itu sebagai pembunuhan. – 18 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen