SELEPAS beberapa minggu tenang, suasana tegang berlaku di kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor apabila Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan trak polis bersiap sedia di luar bagi sebarang kejadian susulan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.
Polis berada di luar kuil selepas kematian Adib di Institut Jantung Negara (IJN) diumumkan malam tadi.
Ketegangan antara kaum dan agama sudah meletus di media sosial apabila banyak pihak menuduh jawatankuasa kuil bertanggungjawab terhadap kejadian yang berlaku kepada Adib.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Abdul Rashid Wahab berkata mereka mengerahkan hampir 400 anggota polis dalam keadaan siap siapa untuk memastikan keselamatan kuil dan pejabat pemaju di Kompleks Perniagaan One City yang berdekatan.
“Kami memberi keutamaan nombor satu kepada kuil, untuk menjaga keselamatan kawasan tersebut dengan memantau keadaan,” kata Rashid kepada The Malaysian Insight.
“Kami juga menambah jumlah anggota polis dan bersedia untuk memastikan keamanan.”
Adib dimasukkan ke unit penjagaan rapi ke Ramsay Sime Darby Healthcare selepas cedera pada 27 November semasa bertugas susulan beberapa buah kereta terbakar semasa rusuhan di kuil.
Beliau adalah sebahagian daripada sembilan anggota bomba yang bertugas malam itu.

Dilaporkan perusuh menyeretnya keluar daripada kenderaan dengan kasar dan menyerangnya menyebabkan tulang rusuk patah, paru-paru bocor dan kecederaan dalaman yang lain.
Bagaimanapun, pada hari berikutnya, pasukan kuil mendakwa Adib tidak dipukul, tetapi sebenarnya dilanggar oleh jentera bomba.
Pasukan petugas kuil berkata dalam satu sidang akhbar terdapat tiga video yang berlegar di media sosial menunjukkan kereta bomba mengundur secara tiba-tiba, dengan Adib betul-betul berada di belakangnya.
Bagaimanapun, pada 6 Disember, polis menahan empat lelaki untuk membantu siasatan atas cubaan pembunuhan, mengikut klasifikasi kes pada masa itu.
Keempat-empat mereka dibebaskan dengan ikat jamin. Semalam, polis mengklasifikasikan semula kes itu sebagai pembunuhan.
Adib meninggal dunia akibat kecederaannya malam tadi selepas ditahan di unit rawatan intensif selama berminggu-minggu.
Jenazahnya diterbangkan dari Lapangan Terbang Subang ke kampung halamannya di Kedah awal pagi ini.
Bedah siasat dilakukan terhadap mayat Adib di Institut Perubatan Forensik Kebangsaan, Kuala Lumpur, kata Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Hassan ‘As’ari Omar. Beliau enggan mengulas lanjut. – 18 Disember, 2018.
Komen