PERHIMPUNAN Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meluluskan resolusi semalam mengecam pelanggaran hak asasi yang “sistematik, berleluasa dan kejam” di Korea Utara.
Resolusi tidak terikat itu yang diluluskan secara konsensus tanpa undi mengalu-alukan usaha diplomatik untuk menamatkan krisis di Semenanjung Korea.
Tetapi ia memberi penekanan kepada ahlinya yang “sangat bimbang dengan situasi hak asasi yang buruk, budaya terlepas hukuman yang berleluasa dan kekurangan kebertanggungjawab untuk pelanggaran hak asasi di Republik Demokratik Rakyat Korea.”
Ia juga mengecam penggunaan siksaan serta “keadaan tahanan yang tidak berperikemanusiaan, rogol, hukuman terbuka, tahanan tidak sah dan meragukan” dan “kewujudan sistem menyeluruh kem tahanan politik.”
Misi Pyongyang ke PBB mengecam kesediaan AS untuk menganjurkan mesyuarat Majlis Keselamatan tentang hak asasi di Korea Utara.
Pada awal Disember, Washington berputus asa untuk mendesak mesyuarat itu diadakan yang berlaku sejak 2014, kerana ia tidak pasti sokongan yang akan diterimanya.
Tetapi harapan AS memuncak untuk mengadakan mesyuarat pada Januari dengan kehadiran ahli tidak tetap majlis yang cenderung menyokong usaha itu.
“Majlis Keselamatan PBB bukanlah tempat untuk perbincangan hak asasi manusia atau platform di mana isu hak asasi dipolitikkan untuk menyemarakkan konfrotasi,” kata misi Korea Utara dalam satu kenyataan.
“Majlis Keselamatan PBB tidak boleh disalahguna untuk amalan masuk campur AS dan perlu kekal dengan misi dan tugasnya seperti termaktub dalam Perlembagaan PBB,” katanya. – AFP, 18 Disember, 2018.
Komen