Aktivis gesa Putrajaya gubal akta jenayah kebencian lindungi minoriti


Christopher Rabin

Aktivis menggesa Putrajaya menggubal akta jenayah kebencian untuk melindungi semua kumpulan minoriti termasuklah transgender yang kini kerap jadi sasaran jenayah kebencian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2018.

AKTIVIS semakin bimbang akan keselamatan komuniti transgender selepas kejadian seorang transgender wanita berusia 32 tahun dipukul sampai mati baru-baru ini, dan menggesa kerajaan bertindak pantas melindungi komuniti tersebut.

Minggu lepas, mangsa dibelasah dan dibiarkan mati di luar sebuah hotel di Klang, Selangor selepas dituduh mencuri telefon bimbit.

Aktivis transgender Nisha Ayub berkata Putrajaya tidak lagi boleh berdiam diri dan memandang sepi rayuan komuniti tersebut, dan perlu mengenakan hukuman berat ke atas pesalah terbabit.

“Kerajaan tak boleh nafi kewujudan jenayah kebencian di Malaysia,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kumpulan hak transgender, Justice for Sisters merekodkan 12 kes serangan fizikal, penghinaan dan penyiksaan ke atas individu transgender antara 2017 hingga 2018.

Serangan tersebut dilakukan kumpulan tertentu yang menyamar sebagai pengawal setempat atau kumpulan penduduk, kata kumpulan itu dalam laporannya.

Nisha berkata komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) paling terkesan dengan jenayah kebencian kerana mereka terpinggir dalam masyarakat.

“Dan antara semua ini, yang paling terkesan adalah individu transgender kerana keterlihatan kami. Juga secara fizikalnya, kami nampak berbeza.

“Ia menjadikan kami kumpulan paling kerap jadi sasaran ucapan atau jenayah kebencian,” katanya.

Tambahnya, kekurangan pengetahuan menjadi faktor utama transgender dipinggirkan atau diserang.

Nisha berkata aktivis sudah lama menggesa kerajaan menggubal undang-undang untuk menangani ucapan atau jenayah kebencian.

“Undang-undang tersebut tak perlu eksklusif untuk transgender tetapi untuk semua orang daripada pelbagai kaum dan warna,” katanya.

Katanya, komen menghina dan stereotype dilakukan ahli politik dan badan agama tertentu menghalang transgender untuk tampil membuat laporan jenayah kerana takut dan bimbang jadi mangsa dan serangan lagi.

“Ini akan menyebabkan persekitaran yang sangat tidak selamat…semua kebencian ini menggalakkan orang untuk bertindak ganas terhadap orang transgender,” katanya.

Pengarah Undang-Undang di Fortify Right Eric Paulsen pula berkata, perundangan jenayah kebencian boleh menjadikan pesalah jenayah keji ini dipertanggungjawabkan dan melindungi hak LGBT di Malaysia.

“Ia akan mengurangkan persekitaran kebencian dan tiada toleransi terhadap mereka (LGBT),” kata Paulsen.

“Parlimen perlu memikirkan secara mendalam untuk menggubal perundangan jenayah kebencian supaya pihak berkuasa boleh mengambil tindakan konkrit untuk melindungi dan menggalakkan hak berdasarkan kaum, etnik, agama, orientasi seksual dan identiti gender,” katanya.

Katanya lagi, penyerang kes pembunuhan kejam wanita transgender berusia 32 tahun itu “perlu dihadapkan ke mahkamah secepat mungkin sebelum tindakan ganas lain berlaku”.

Polis sudah menahan empat belia berusia antara 16 hingga 21 tahun berkaitan kes itu dan menyiasatnya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – 18 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen