NURUL Izzah Anwar sudah membayangkan untuk meletak jawatan kanan dalam parti sejak berbulan-bulan lalu untuk menangkis tuduhan nepotisme, kata sumber PKR.
Sumber berkata ahli Parlimen berusia 38 tahun itu juga mempertimbangkan untuk tidak bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan parti pada Ogos lalu kerana bimbang dibayangi tuduhan nepotisme.
Bapanya Anwar Ibrahim juga sudahpun kembali mengetuai parti sebagai presiden dan gabungan Pakatan Harapan berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan persekutuan.
Maka beliau tidak mahu Anwar terus dituduh menjadikan parti itu sebagai perusahaan keluarga – satu tuduhan yang membelenggu PKR sejak penubuhannya dari gerakan reformasi 1999.
Ibu kepada Nurul Izzah, Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi presiden sejak kelahiran parti tersebut dan hanya memberi laluan kepada Anwar kepada Ogos.
Nurul Izzah pula menjadi naib presiden sejak 2010 dan ahli Parlimen sejak 2008.
“Apabila (Nurul Izzah) bertanding dalam pilihan raya umum dan menang, orang fikir ia disebebakan bapanya,” kata satu sumber yang rapat dengan ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
“Apabila beliau dilantik ke sesuatu jawatan, walaupun beliau berkebolehan menjalankan tugas, orang akan fikir (pelantikan) disebabkan bapanya. Sangat sukar baginya untuk meyakinkan orang mengenai kemampuannya.”
Nurul Izzah meraih jumlah undi tertinggi dalam pemilihan jawatan naib presiden tahun ini.
Sebelum itu, beliau dilantik mengenai jawatankuasa bertindak kerajaan untuk menaik taraf sistem latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Dua hari lalu, beliau dilantik mengetuai PKR Pulau Pinang.
Dalam satu kenyataan semalam, Nurul Izzah mengumumkan meletak semua jawatan dalam parti termasuk naib presiden. Beliau juga tidak lagi berkhidmat dalam kerajaan dalam apa-apa kapasiti.
Katanya, beliau akan kekal sebagai ahli biasa dan meneruskan khidmat sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh.
Walaupun PKR menyatakan sasaran untuk menamatkan rasuah, nepotisme dan kronisme, ia meraih kritikan kerana didakwa mengamalkan perkara itu dalam pelantikan jawatan dalam parti.
Dakwaan berkenaan juga terus menjadi bahan kritikan dalam dalam pemilihan parti yang menyaksikan pertembungan dua kem pada tahun ini.
Beberapa jam sebelum Nurul Izzah mengumumkan keputusan meletak jawatan, peguam PKR yang juga ahli majlis pimpinan pusat Latheefa Koya menuduh pemimipin kanan mengamalkan kronisme dalam pemilihan ketua parti negeri.
Satu lagi sumber berkata, Nurul Izzah sebagai pemimpin dengan jawatan kanan juga dalam keadaan sukar apabila muncul dua kem kuat – satu dikaitkan dengan Anwar dan satu lagi dengan timbalan presiden Azmin Ali.
“Setiap kali Anwar tidak sependapat dengan pemimpin kanan lain dalam PKR atau PH, beliau terperangkap di tengah-tengah kerana beliau juga sebahagian daripada pemimpin kanan,” kata sumber.
Sumber yang juga ahli majlis pimpinan pusat berkata malang sekali bagi Nurul Izzah kerana terpaksa membuat keputusan meletak jawatan.
“(Keputusan itu) amat malang sekali dan saya berdukacita dengannya. Tapi saya sokong segala keputusan yang dibuat,” kata sumber. – 18 Disember, 2018.
Komen