Perbicaraan rakyat Poland sokong pemberontak Papua ditangguh


Jakub Fabian Skrzypski (kiri) sepatutnya dibicarakan hari ini bersama seorang lelaki Papua di Wamena iaitu tempat di mana dia ditahan tetapi ditangguhkan kerana mahkamah gagal menempah penerbangan untuk penterjemah bahasa, kata pendakwa raya. – Gambar AFP, 17 Disember, 2018.

MAHKAMAH Indonesia hari ini menangguhkan perbicaraan seorang lelaki rakyat Poland yang berdepan hukuman penjara 20 tahun atas dakwaan terlibat dengan pemberontak Papua.

Perbicaraan ditangguhkan kerana tiada penterjemah bahasa.

Jakub Fabian Skrzypski ditahan dan didakwa pada Ogos selepas bertemu pemberontak yang disyaki di wilayah bergolak Papua. Pendakwa raya berkata Skrzypski mengadakan pertemuan itu sebagai usaha untuk menyebarkan maklumat mengenai perjuangan pemberontak itu menuntut kemerdekaan.

Isu mengenai Papua amat sensitif bagi Indonesia. Pemberontakan tingkat rendah telah berlanjutan sejak berdekad lamanya dan kerajaan negara itu menyalahkan pemberontak atas keganasanyang tercetus di wilayah itu.

Papua berkongsi sempadan dengan Papua New Guinea (PNG), di utara Australia.

Skrzypski sepatutnya dibicarakan hari ini bersama seorang lelaki Papua di Wamena iaitu tempat di mana dia ditahan tetapi ditangguhkan kerana mahkamah gagal menempah penerbangan untuk penterjemah bahasa, kata pendakwa raya, Ricarda Arsenius.

Perbicaraan disambung semula pada 8 Januari. – AFP, 17 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen