Kebakaran musnah 8,000 mesin undi pilihan raya Congo


Anggota bomba memadamkan kebakaran di depoh simpanan mesin undi elektronik yang digunakan dalam pilihan raya di Congo. – Gambar YouTube, 17 Disember, 2018.

DEPOH Suruhanjaya Pilihan Raya di Kinshasa, Congo musnah dalam satu kebakaran susulah insiden keganasan yang tercetus menjelang pemilihan presiden.

Lebih dua pertiga mesin mengundi elektronik musnah dalam kebakaran itu, kata seorang pegawai.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang waktu tempatan, 13 Disember itu dan puncanya belum dapat dipastikan.

Seorang pegawai suruhanjaya pilihan raya berkata, kira-kira 8,000 mesin rosak, ia mewakili dua pertiga jumlah diperlukan di Kinshasa yang mempunyai empat juta penduduk dengan 15 peratus daripadanya pengundi berdaftar. 

Pegawai itu berkata beberapa langkah telah diambil untuk memastikan pilihan raya dapat diadakan seperti dirancang.

Mesin gantian akan dibawa dari negeri lain untuk mengatasi masalah kekurangan itu.

Kempen untuk memilih pengganti kepada Presiden Joseph Kabila pada 23 Dis dicemari dengan insiden keganasan yang turut menyaksikan korban. Kabila menyokong bekas Menteri Dalam Negerinya, Emmanuel Ramazani Shadary.

Kerajaan menuduh penyokong calon pembangkang, hartawan perniagaan Martin Fayulu, mencetuskan keganasan. Fayulu bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut.

Pilihan raya itu menyaksikan persaingan sengit antara Shadary, Fayulu dan pemimpin pembangkang Felix Tshisekedi.

Sejak memperolehi kemerdekaan dari Belgium pada tahun 1960, peralihan kuasa di Congo tidak pernah berlaku dalam keadaan aman. – Bernama, 17 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen